Malaysia Baru - Janji Anwar 16 September ini



Mohd Sabri Said

Tue Sep 02, 08 9:13:21 am MYT
PERMATANG PAUH, 2 Sept (Hrkh) - Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim mengulangi kenyataannya akan menurunkan harga petrolium serta membebaskan kesemua mereka yang merengkok dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA) sekiranya kepimpinan kerajaan bertukar tangan pada 16 September ini.

Menurutnya, tarikh keramat itu diambil sempena kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia. Pakatan rakyat memerlukan 30 ahli parlimen berhijrah daripada Barisan Nasional (BN) ke gagasan baru untuk membentuk 'Malaysia Baru' yang lebih bergaya.
"16 September akan tercipta satu lagi lingkaran sejarah negara apabila Malaysia baru dibentuk dengan kemasukan Ahli Parlimen daripada Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
"Matlamat itu penting demi maruah negara yang telah berkecai ekoran tangan kotor kepimpinan negara yang berkuasa, " jelasnya lantang dalam majlis makan malam Pakatan Rakyat Pulau Pinang di tapak Ekspo Seberang Jaya semalam.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Presiden KeADILan, Dato' Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Salleh Man dan ramai lagi kepimpinan parti peringkat negeri.
Beliau membidas kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang meminta beliau tidak merampas proses demokrasi bagi penubuhan Kerajaan Pakatan Rakyat.
Kata Anwar, bagi Abdullah, demokrasi yang ada sudah cukup menyelamatkan negara daripada dijajah kembali.
"Sekarang kita bercakap soal demokrasi yang tempang bukan dijajah. Demokrasi yang ada kini bukan membela rakyat pertengahan dan bawahan tapi saudagar atau kroni terdekat lagipun jika benar demokrasi menjadi teras negara kenapa ramai lagi di bawah ISA, " terang beliau.
Di mana letaknya demokrasi yang dimaksudkan, suara rakyat di sekat, kebebasan akhbar dan kepada individu yang rajin membatu Pakatan Rakyat ditakut-takutkan.
Bagaimana pun bagi rakyat Permatang Pauh segala dakwaan atau fitnah tidak langsung memberi kesan sebaliknya mereka menghadiahkan keputusan yang mengejutkan.
"Umno memang terkejut bilamana mendapati keputusan sebaliknya berlaku. Saya terhutang budi pada pengundi di Permatang Pauh kerana mereka sanggup memberi ruang kepada saya untuk mengubah langskap politik Malaysia," ujarnya. - mr_
[Read More...]


Anwar selesai angkat sumpah sebagai ahli Parlimen



Harakahdaily
Foto Nasir Sudin Thu Aug 28, 08 10:35:28 am MYT

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Hrkh) - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim selesai mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh pada jam 10.03 minit pagi di depan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Mstar melaorkan, selepas upacara angkat sumpah tersebut, Anwar menandatangani surat akujanji.

Pandikar kemudiannya mengalu-alukan Anwar sebagai ahli Parlimen yang baru dan mengumumkan kepada ahli Dewan Rakyat mengenai perlantikan Anwar sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.

Setelah Pandikar mengumumkan Anwar sebagai sebagai Ketua Pembangkang, ahli Parlimen Pakatan Rakyat menepuk meja tanda setuju.

Menteri yang hadir hanya Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato' Mustapha Mohamed bersama-sama dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Datuk Zaid Ibrahim.

Manakala yang lain dihadiri oleh ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Terdahulu Anwar tiba di Lobi Parlimen untuk upacara mengangkat sumpah pada jam 9:50 pagi diiringi isterinya, Dato' Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya, Nurul Izzah.

Turut sama mengiringi beliau adalah, Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Anwar hadir dengan memakai baju Melayu berwarna hitam.

Ketika ini Anwar sedang mengadakan sidang media. - mks. _
[Read More...]


Polis tahan ahli PAS walaupun ada permit ceramah



Mohd Sabri Said
Fri Aug 22, 08 5:28:07 pm MYT

PERMATANG PAUH, 22 Ogos (Hrkh) - Suasana di Permatang Pauh semalam menjadi panas seketika apabila seorang ahli PAS, Asri Zakaria dari Kampung Tok Kando di tahan polis kerana membenarkan rumahnya diguna untuk ceramah kempen Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Beliau ditahan polis berpakaian biasa pada pukul 4.00 petang lagi untuk mengerunkan keluarganya agar tidak memberi ruang dan menyokong Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) pada pilihanraya kecil.

Menurut Ketua Jentera Daerah Mengundi Permatang Tengah, Idris Husin, motif tangkapan belum pasti kerana beliau belum dibenarkan bertemu peguam, Lim Boo Chang sehingga tengah malam semalam.

Hari ini, Lim dijangka bertemu pegawai polis di Bandar Perda untuk berbincang perkara ini setelah sebahagian jentera Daerah Mengundi yang ditugaskan mengesan di mana beliau di tahan lokap dipermainkan oleh polis di Seberang Perai dan Butterworth.

"Kita dah dapat kesan di mana dia sekarang ini. Kita hairan kenapa dia di tahan kerana ceramah itu ada permit. " ujarnya kesal. - mr_
[Read More...]


Pengundi telah bulatkan tekad undi Anwar, PAS bantu sepenuhnya kempen



Wan Nordin Wan Yaacob
Wed Aug 20, 08 5:06:15 pm MYT

PERMATANG PAUH, 20 Ogos (Hrkh) - Seluruh jentera PAS Pulau Pinang termasuk Pemuda dan Muslimat kini berkampung di Permatang Pauh bagi menjalankan kempen meraih undi memenagkan calon Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Sementara para pengundi di Permatang Pauh pula dikatakan telah membulatkan tekad akan mengundi Anwar bagi membawa perubahan termasuk kepada lanskap politik negara.
Demikian kata Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Salleh Man semasa ditemui Harakahdaily sebentar tadi di Pejabat Adun Permatang Pasir dekat sini.
Beliau yang datang bagi memantau perjalanan gerak kerja kempen di Permatang Pasir berkata, sejak dari mula pengumuman Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melepaskan jawatan sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh, jentera PAS negeri itu telah dikerahkan bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan pilihan raya kecil diadakan.
Sebaik sahaja penamaan calon, semua jentera PAS di Pulau Pinang menjalankan kerja-kerja siang dan malam meraih undi, berkempen, berceramah secara kecil-kecilan mahupun rumah ke rumah semata-mata bagi memastikan Anwar menang.
Menyentuh isu fitnah liwat yang dihadapkan media arus perdana dan jentera BN di sini terhadap Anwar, beliau berkata isu itu tidak memberi kesan kepada sokongan terhadap Anwar.
Malah pengundi di Permatang Pauh sebenarnya mempunyai 'personal touch' dengan Anwar yang pernah memimpin Parlimen Permatang Pauh sejak dalam Umno hingga tersingkir pada tahun 1998.
"Ini bukan soal parti yang lawan, tetapi di sini pengundi melihat 'batang tubuh' Anwar sebagai orang yang berjasa, malah peristiwa 1998 sebenarnya kurang memberi kesan kepada keyakinan pengundi kepada Anwar," katanya.
Justeru beliau yakin dengan kerja-kerja kempen yang dilakukan dan dengan perkembangan sihat pengundi terhadap Anwar, Parlimen Permatang Pauh ini akan kekal kepada KeADILan.
Beliau turut memberitahu bahawa para pengundi kaum Cina langsung tidak memyakini kempen yang dijalankan BN kerana mereka telah melihat betapa BN tidak menjaga kepentingan rakyat.
Malah kata beliau, jika Umno tabur wang atau memberi ganjaran sekalipun, peralihan undi tidak akan berlaku, sebaliknya undi kepada Anwar akan terus meningkat.
"Kecuali kalau mereka guna taktik yang cukup kotor pada saat akhir, itu pun kita tidak yakin akan mengubah pendirian pegundi untuk mengundi Anwar.Di sini pengundi telah menetapkan pendirian akan mengundi Anwar untuk perubahan," ujar Salleh lagi. _
[Read More...]


KeADILan akan siasat individu yang memukul wartawan



Mohd Zamirul Mohd Dzaki
Sun Aug 17, 08 2:40:28 pm MYT

PERMATANG PAUH, 17 Ogos (Hrkh) - Parti KeADILan Rakyat (KeADILan) akan menyiasat pihak yang didakwa ahli parti tersebut memukul wartawan pada hari penamaan calon semalam.

Perkara ini dinyatakan sendiri oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam sidang medianya di Yayasan Aman sebentar tadi."

"Kita tidak akan bertolak ansur dalam hal ini, dan saya tegaskan baik ahli KeADILan, PAS atau DAP mereka tidak akan terlepas jika mereka membuat salah," katanya.

Di masa sama beliau tidak menolak kemungkinan kejadian tersebut dilakukan oleh bukan ahli Parti KeADILan Rakyat.

Ini kerana katanya, baju berlambang KeADILan yang dipakai individu tersebut tidak semestinya melambangkan dia ahli parti kerana ia boleh didapati di mana-mana.

"Seperti mana kejadian di Tapak Ekspo Seberang Jaya yang lalu, setelah siasatan dijalankan kami mendapati pihak yang terlibat bukan dari kalangan ahli parti," katanya.

Dato' Seri Anwar juga mengingatkan wartawan terutamanya dari media arus perdana seperti Utusan dan TV3 agar melaporkan hal ini dengan adil.

"Mengapa budaya samseng hanya dikaitkan dengan KeADILan, di Ijok Khairi bersama pemuda Umno bertindak membaling botol tapi mengapa ia tidak dilabel sebagai samseng," katanya.

Sidang media tersebut turut dihadiri Presiden Parti KeADILan Rakyat Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail, Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah dan Majlis Pimpinan Tertinggi KeADILan, Dr Mansor Othman. - mns_
[Read More...]


Anwar hargai komiten PAS perkukuh Pakatan Rakyat



Mohd Rashidi Hassan
Fri Aug 15, 08 1:03:53 pm MYT

IPOH, 15 Ogos (Hrkh) - Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau amat menghargai komitmen PAS untuk terus bersama dan memperkukuhkan Pakatan Rakyat sebagaimana yang dinyatakan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya sebentar tadi.

Ucapan Dasar Presiden PAS bertajuk 'PAS Untuk Semua' disampaikan beliau bersempena Muktamar Tahunan PAS kali ke 54 di Stadium Indera Mulia, dekat sini.
"Ustaz Hadi menyampaikan ucapan yang bernas," kata Anwar yang pertama kali hadir ke Muktamar PAS, dalam respons eksklusifnya kepada Harakahdaily sejurus selepas Muktamar ditangguhkan tengahari tadi.
Anwar bersama isterinya, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden KeADILan, mengucapkan terima kasih kepada seluruh kepimpinan PAS yang mengundang beliau untuk hadir ke Muktamar PAS.
Menurut beliau, segala teguran dan pandangan perwakilan PAS semalam, beserta dengan ucapan Dasar Presiden PAS sebenarnya membuka ruang yang lebih kepada banyak perbincangan untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat.
"Saya menyanjung tinggi komitmen yang diberikan Ustaz Hadi bahawa PAS akan terus kekal dalam Pakatan Rakyat.
"Saya juga berterima kasih dan menghargai sokongan PAS, khususnya Tuan Guru Nik Aziz, untuk membantu saya di Permatang Pauh, kerjasama ini amat saya alu-alukan," katanya.
Tegas Anwar, beliau akan memastikan kerjasama di kalangan parti dalam Pakatan Rakyat akan terus diperkukuhkan walaupun terdapat beberapa teguran daripada beberapa pihak.
"Apa yang penting kita, pemimpin dan ahli Pakatan Rakyat, mesti mengelakkan dan mengetepikan manipulasi media yang senantiasa mahu memecahkanbelahkan perpaduan kita," ujarnya._
[Read More...]


Anwar Persoal kenapa Saiful Tak Didakwa Jika Suka Sama Suka



MYT oleh greenboc

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempersoalkan mengapa beliau sahaja yang didakwa di mahkamah jika beliau dikatakan melakukan hubungan seks di luar tabii dengan bekas pembantunya secara suka sama suka."Jika suka sama suka, kenapa hanya saya yang dipanggil?" katanya kepada pemberita sambil menyifatkan dakwaan liwat terhadapnya hari ini adalah fitnah khianat yang bertujuan mencemar nama baiknya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Beliau dituduh melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan terhadap Mohd Saiful, 23 tahun.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dibela oleh pasukan sembilan peguam diketuai oleh Sulaiman Abdullah. Mereka yang lain ialah R. Sivarasa, Sankara Nair, Saiful Izham Ramli, Leela Jeyamani Jesuthasan, Edmund Bon, Amer Hamzah Arshad, Latheefa Koya dan Mohd. Razlan Jelaludin.

Pasukan pendakwaan pula diketuai oleh Ketua Pendakwa Pejabat Peguam Negara, Mohd. Yusof Zainal Abiden; Peguam Cara Negara, Datuk Idrus Harun; Mohamad Hanafiah Zakaria dan Shamsul Sulaiman.

Anwar mengecam Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana meneruskan dakwaan liwat terhadapnya.

Anwar menyifatkannya sebagai satu politik kotor oleh seseorang yang akan kehilangan kuasanya.
Ketua umum PKR itu juga berkata beliau kini akan menumpukan perhatiannya kepada kempen pilihanraya kecil Permatang Pauh.

Sementara itu, Peguam Anwar, Sankaran Nair, berkata tuduhan terhadap anak guamnya megikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan iaitu liwat dalam sukarela sebagai sesuatu yang pelik.
Katanya, sepatutnya pendakwa turut menuduh Saiful atas kesalahan sama apabila memilih seksyen berkenaan untuk melakukan pendakwaan terhadap Anwar.

Beliau juga berkata, Anwar mempunyai alibi kerana masa pada pertuduhan itu anak guamnnya itu bersama lima orang di Kondominium Desa Damansara, 26 Jun lalu.
[Read More...]


Anwar ada alibi - Peguam



Salmiyah Harun, Nyza Ayob & Nuha Rahim
Thu Aug 07, 08 2:19:13 pm MYT

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Hrkh) - "Saya dah tanda tangan ikat jamin peribadi saya, dan pasport saya masih berada bersama saya . Saya hargai pendirian yang diambil peguam saya.Yang saya kesalkan ialah pendakwaan ini. Walaupun saya yakin berdasarkan cara pendakwaan itu, pendakwa seolah dipaksa. Kalau tidak mustahil pendakwaan itu dibuat," demikian antara kata-kata Dato' Seri Anwar Ibrahim sebaik sahaja keluar dari kamar Mahkamah Seksyen Jenayah 1 pada jam 11.15 pagi ini, di Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Penasihat KeADILan itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan hubungan seks di luar tabii dengan pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan penghujung Jun lalu.

Pihak pendakwa tidak membantah Anwar dibenar ikat jamin dan mencadangkan ketua umum PKR itu dikenakan jaminan RM20,000 dan menyerahkan pasportnya.

"Dahulu dalam media tempatan dihebahkan bahawa ada penderaan dan paksaan. Semalam Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengeluarkan kenyataan tidak bertanggung jawab mengatakan ada rogol, tetapi hari ini pendakwaan suka sama suka.

"Jika suka sama suka, kenapa saya seorang yang kena dakwa. Jika suka sama suka, kena dakwa kedua-dua,"katanya yang berucap dihadapan kira-kira 40 media dan diiringi isterinya,Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail. Turut kelihatan anak-anaknya yang turut memberi sokongan kepadanya.
Jelas Anwar, tumpuannya kini pada Pilihan Raya Permatang Pauh. Katanya, beliau akan memulakan ceramahnya malam ini di Taman Medan, Petaling Jaya.
"Dari Taman Medan kita akan ke Permatang Pauh. Dan insya-Allah dari Permatang Pauh sampai ke Parlimen dan kita ambil alih kerajaan dan perbetulkan segala kekhianatan, penipuan dan rasuah yang ada," katanya.
Anwar ada alibi
Sementara itu, Menurut Peguam Anwar Ibrahim, Sankara Nair Anwar memiliki alibi yang kukuh pada masa kejadian (26 Jun) pada jam 3 petang sebagaimana yang didakwa oleh pembantunya, Saiful.

Sankara yang ditemui di luar kamar sebaik sahaja prosiding tamat jam 10.30 pagi berkata, Mahkamah Sesyen Jalan Duta hari ini dilihat berlaku adil kerana membenarkan anak guamnya diikat jamin setelah Anwar mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan liwat.
Beliau salah seorang daripada sembilan peguam bela Anwar berkata, Hakim S.M Komathy memperlihatkan sifat adil dengan menggunakan budi bicaranya membenarkan Anwar dibebaskan dengan ikat jamin.

Sankara juga berkata, pendakwaan kes liwat terhadap Anwar tidak akan menjejaskan proses pilihan raya kecil Permatang Pauh akhir bulan ini.

Hakim menetapkan 10 September untuk sebutan semula kes itu di mahkamah yang sama.
Berikut adalah Kertas Pertuduhan terhadap Anwar:

Bahawa kamu, pada 26 Jun 2008 antara jam 3.01 petang dan 4.30 petang di alamat Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, No 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dengan Mohd Saiful Bukhari bin Azlan dengan memasukkan zakar kamu ke dalam duburnya; dan oleh yang demikian kamu telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Sekiranya disabitkan menurut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, kamu hendaklah dihukum dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun, dan bolehlah juga dikenakan sebatan.

Anwar diwakili sembilan peguam
Anwar diwakili oleh sepasukan sembilan orang peguam yang diketuai oleh Sulaiman Abdullah. Peguam lain termasuklah Sivarasa Rasiah, Sankara Nair, Saiful Izham Ramli, Amer Hamzah, Edmund Bon, Latheefa Koya, Leela J Jesuthasan dan Mohd Razlan Jawaludin.

Pihak pendakwaan diketuai Peguam Cara Negara Dato' Idrus Harun manakala pihak pembelaan yang dibarisi sembilan peguam diketuai Sulaiman Abdullah.

Ini adalah kali kedua Anwar menghadapi tuduhan liwat. Dalam kes pertama pada 2000, beliau dituduh meliwat Azizan Abu Bakar, pemandu isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Terdapat juga peguam pemerhati bagi pihak Majlis Peguam dan badan hak asasi manusia yang berpejabat di Washington, Paris dan Bangkok.

Sementara itu beberapa orang pimpinan PAS turut mengikuti perbicaraan tersebut seperti Naib Presiden, Dato' Husam Musa; Setiausaha Agung, Dato' Kamaruddin Jaffar; AJK PAS Pusat merangkap ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkifly Ahmad dan AJK PAS Pusat yang juga ahli parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali menyambut baik keputusan mahkamah tersebut.
Husam yang ditemui menyatakan keputusan tersebut menunjukkan mahkamah lebih bebas dan adil.

"Kami bersyukur atas keputusan yang diambil oleh mahkamah tadi. Selepas ini, kita akan turun 'berperang' di parlimen Permatang Pauh bagi memenangkan Dato' Seri Anwar Ibrahim,"kata Dr Lo' Lo'.

Anwar meninggalkan perkarangan Kompleks Mahkamah pada kira-kira 11.35 pagi.
Laluan ke kompleks itu sesak seketika apabila lebih 2,000 penyokong Anwar berhimpun di luar dan dalam perkarangan kompleks menyebabkan Anwar sukar meninggalkan kawasan itu. - mks. _
[Read More...]


Hadapkan ke mahkamah, usaha halang Anwar sertai pilihan raya kecil



Wan Nordin Wan Yaacob Foto Wan Zahari Wan Salleh Wed Aug 06, 08 2:10:20 pm MYT

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Hrkh) - Tindakan mengheret Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim ke mahkamah sebaik sahaja pengumuman mengenai Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh dibuat adalah usaha menghalang beliau menyertai pilihan raya tersebut.


Demikian kata Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar dalam respons awalnya terhadap perkembangan tersebut kepada Harakahdaily hari ini .

Anwar dilaporkan akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di Jalan Duta jam 10.00 pagi esok.

Sebelum itu, Kamarudin telah mengirimkan satu SMS kepada Harakahdaily menyatakan Anwar akan dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.

Menurut Kamarudin, paling menghairankan tindakan ini dibuat sebaik sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya membuat pengumuman penting mengenai pilihan raya Permatang Pauh yang disebut Anwar menjadi medan kembali ke arena politik.

Sementara itu Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin pula menyatakan bahawa tindakan itu berniat jahat dan sengaja dilakukan tatkala kerajaan melihat rakyat memberi sokongan penuh kepada Anwar.

AMK turut kesal dengan perkembangan itu dan menyifatkan ia tindakan yang menyempitkan lagi ruang demokrasi, katanya.

Justeru atas solidariti kepada Anwar, AMK telah menghubungi semua petugasnya untuk mengadakan himpunan menyokong Anwar di hadapan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur jam 9.00 pagi esok.

Anwar dilaporkan akan dihadapkan ke mahkamah esok berikutan kertas siasatan dakwaan liwat yang dibuat Saiful Azlan pada 28 Jun lalu.

Polis dilaporkan telah menyerahkan satu dokumen kepada Anwar berhubung pertuduhan itu.
Dokumen itu diserahkan di kediamannya di Bukit Segambut, tatkala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru sahaja menetapkan tarikh pilihan raya kecil Permatang Pauh yang akan disertainya pada 16 Ogos ini.

Sumber KeADILan menyatakan bahawa, dokumen itu disampaikan oleh pegawai penyiasat kes dakwaan meliwat, DSP Jude Pereira di rumah Anwar jam 12.00 tengahari tadi.

Sementara itu, dalam satu sidang media di Putrajaya pagi tadi, SPR mengumumkan pengundi di Permatang Pauh akan menentukan ahli Parlimen baru kerusi itu pada 26 Ogos.

SPR yang bermesyuarat hari ini menetapkan hari penamaan calon pada 16 Ogos.

Permatang Pauh merupakan kerusi tradisi Anwar selama 17 tahun sejak memenanginya pada 1982 atas tiket BN.

Namun sejak 1998, kerusi itu disandang oleh Presiden KeADILan, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menguasainya selama tiga penggal sewaktu Anwar dipenjarakan pada 1999 dan 2004.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman menyatakan seramai 58,459 pemilih termasuk 490 melalui pos layak membuang undi.

Daftar pemilih yang digunakan dalam pilihan raya tersebut dikemaskinikan sehingga 31 Julai, katanya.

Beliau mengingatkan semua calon supaya tidak menyentuh sebarang isu yang melibatkan kes-kes petisyen pilihanraya umum lalu dalam kempen-kempen mereka.

Abdul Rashid juga menyeru calon-calon menjaga tatatertib berkempen dan mematuhi undang-undang.

Permatang Pauh merupakan satu daripada 13 kerusi Parlimen di Pulau Pinang, memang 'panas' sejak 1999.

Majoriti pengundi kawasan ini terdiri daripada orang Melayu yang merupakan 68.5 peratus atau 40,039 daripada 58,449 pengundi kawasan itu, diikuti oleh kaum Cina seramai 14,489 orang atau 24.79 peratus dan India 3,581 orang (6.3 peratus) serta lain-lain 240 orang (0.41 peratus).

Kerusi Parlimen Permatang pauh meliputi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.
Kerusi Dun Seberang Jaya, yang diwakili oleh Datuk Arif Shah Omar Shah daripada BN, mempunyai 22,678 pengundi iaitu Melayu 14,163 orang (62.36 peratus), Cina 5,436 (23.97 peratus), India 2,978 (13.13 peratus) dan lain-lain 122 (0.54 peratus).

Kerusi Dun Permatang Pasir yang diwakili Hamdan Abd Rahman dari PAS mempunyai 20,350 pengundi iaitu Melayu 14,715 orang (72.31 peratus), Cina 5,278 (25.94 peratus), India 328 (1.61 peratus) dan lain-lain 29 (0.14 peratus).

Kerusi Dun Penanti, yang diwakili oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin dari PKR mempunyai 15,421 pengundi iaitu Melayu 11,181 orang (72.51 peratus), Cina 3,776 (24.49 peratus), India 375 (2.43 peratus) dan lain-lain 89 (0.57 peratus).

Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu Wan Azizah mengalahkan calon BN Datuk Pirdaus Ismail dalam pertandingan satu lawan satu dengan majoriti 13,388 undi.

Namun, 31 Julai lalu beliau mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh.- mks. _
[Read More...]


PAS kerjasama dengan KeADILan, DAP bantu Anwar



Suhaimi Taib
Tue Aug 05, 08 7:40:21 am MYT

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Hrkh) - PAS akan berganding bahu dengan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) dan DAP untuk mempastikan Mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim dapat bertanding di Permatang Pauh.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahudin Ayub berkata, PAS bersedia membantu Anwar bertanding walaupun beliau ditangkap dan dipenjarakan.

"Kita akan membantu Anwar untuk mendapat kemenangan lebih besar walaupun beliau ditangkap dan walaupun terpaksa mempertaruhkan songkoknya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil permatang Pauh," katanya ketika berucap di Taman Melewar di sini baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, usaha itu tidak akan menghalang Anwar dari mencapai cita-cita Pakatan Rakyat untuk mempastikan beliau bertanding dalam pilihanraya kecil itu.

Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) akan membuat pengumuman tentang kekosongan kerusi parlimen Permatang Pauh dan akan menentukan tarikh penamaan calon dan tarikh pengundian bagi kerusi tersebut esok.

Kerusi parlimen itu kosong berikutan peletakan jawatan oleh ahli parlimen kawasan itu, Dato' Seri Wan Azizah Ismail untuk memberi laluan kepada suaminya (Anwar) bertanding dalam pilihan raya tersebut.

Wan Azizah menang dalam pilihan raya umum kawasan tersebut, 8 Mac lalu dengan majoriti 13,388 undi, mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Pirdaus Ismail.
Wan Azizah mendapat 30,388 undi manakala Pirdaus 16,950 undi.

BN dijangka meletakkan calon tempatan untuk mempastikan Anwar tidak mudah mencapai kemenangan di kawasan tersebut.

Anwar sebelum ini tidak dapat bertanding dalam pilihan raya kerana dikenakan hukuman penjara enam tahun akibat tuduhan salahguna kuasa sekaligus satu sekatan berpolitik telah dikenakan ke atas beliau selepas menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh.

Bagimanapun sekatan bergiat aktif dalam aktiviti politik (termasuk bertanding dalam pilihn raya) telah tamat April lalu dan beliau boleh aktif semula dalam kegiatan politik. - mks._
[Read More...]


Wan Azizah lepas kerusi Permatang Pauh



Oleh malaysiakini

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melepas kerusi Parlimen Permatang Pauh untuk membuka laluan kepada suaminya, yang juga Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam pilihanraya kecil untuk kerusi tersebut.Beliau bagaimanapun kekal sebagai presiden PKR.

Wan Azizah berkata, beliau telah menghantar surat peletakan jawatan tersebut kepada Speaker Dewan Rakyat hari ini.

Permatang Pauh dianggap sebagai kerusi yang selamat berdasarkan kepada keputusan pilihanraya umum lalu, Wan Azizah menang besar dengan majroti 13,388.

Beliau mendapatkan 30,338 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dari Umno, Datuk Pirdaus Ismail yang memperolehi 16,950 undi.

Wan Azizah mewakili kerusi Permatang Pauh selama tiga penggal. Dalam pilihanraya 2004, beliau menang tipis dengan majoriti 590 undi, juga menewaskan Pirdaus.

Sebelum ini, disebut beberapa kerusi yang mungkin ditandingi oleh Anwar, termasuk Kulim Bandar Baharu, Bandar Tun Razak dan Lembah Pantai.

Kerusi Bandar Tun Razak diwakili oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Lembah Pantai (Nurul Izzah) dan Gombak pula diwakili oleh naib presiden PKR, Azmin Ali.

Ditanya mengapa beliau yang mengosong kerusinya untuk Anwar, Azizah berkata sejak dahulu lalu beliau bersedia berbuat demikian.

Katanya, sejak dari mula-mula bertanding dahulu lagi, beliau sedia mengosong kerusi Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada Anwar.

Beliau juga berkata, keputusannya diambil setelah berbincang dengan keluarganya, dengan pemimpin PKR serta DAP dan PAS.

Katanya, beliau merasakan "inilah yang terbaik bagi Anwar sebab kawasan tersebut (mempunyai) majoriti yang selesa".Note: dikemaskinikan pada 4.15 pm - GB
[Read More...]


Doktor: Tiada kesan Saiful diliwat



Harakahdaily
Mon Jul 28, 08 7:19:05 pm MYT

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Hrkh) - Tiada bukti Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mengadu diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, pernah mengalami hubungan seks luar tabie seperti itu - demikian hasil pemeriksaan seorang doktor di sebuah hospital swasta, kira-kira empat jam sebelum membuat laporan polis sebulan lalu.

Menurut Malaysiakini, salinan laporan perubatan terhadap bekas pembantu Anwar itu, Mohd Saiful ke Hospital Pusrawi mengadu mengalami "tenesmus" - kesukaran dan kesakitan membuang air besar.

Dipercayai pemuda 23 tahun itu mendapatkan rawatan di hospital di Jalan Tun Razak itu kira-kira jam 2 petang pada 28 Jun sebelum diminta ke sebuah hospital kerajaan dan kemudian membuat laporan polis.



Ketika di Hospital Pusrawi, pemuda itu diperiksa oleh Dr Mohamed Osman Abdul Hamid.
Dalam laporannya itu, doktor tersebut menyatakan pesakit itu mendakwa diserang dengan dijolok bahan "plastik" di bahagian duburnya.



Mohamed Osman, seperti tercatat dalam laporannya yang direkodkan pada jam 2.14 petang, mendapati dubur Mohd Saiful "tidak mengalami pendarahan aktif", "tiada kesan ulser atau nanah", dan "tiada kesan koyak atau calar".



Beliau juga menyatakan pemuda itu kelihatan "jaga", "selesa", "tidak pucat" dan tidak menunjukkan sebarang tanda demam. - mks._
[Read More...]


Pergerakan Anwar dirakam, forensik ambil kesan selepas keluar lokap



Wan Nordin Wan Yaacob
Sat Jul 26, 08 9:20:26 am MYT

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Hrkh) - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Sivarasa Rasiah mendakwa, satu pasukan forensik memasuki lokap dan mengambil kesan-kesan termasuk rambut, bulu-bulu dan sel kulit selepas Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dibebaskan dari lokap 17 Julai lalu.

Sivarasa yang juga peguam Anwar berkata, selepas Anwar dibebaskan kumpulan forensik masuk ke dalam bilik lokap tempat Anwar ditahan dan mengambil semua kesan yang dinyatakan.

"Kenapa ini dilakukan dalam kes Anwar? Kenapa hantar kumpulan forensik? Apakah releven siasatan dengan cara begini," kata Sivarasa selepas dipanggil soal siasat di Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman semalam.


Sivarasa hadir ke JSJ Bukit Aman bagi memberi keterangan kepada polis berhubung siasatan akuan berkanun pertama penyiasat persendirian P Balasubramaniam yang mengaitkan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak dengan Altantuya Shaariibuu.

Menurut Sivarasa, tindakan forensik itu sangat meragukan dan menimbulkan banyak persoalan selepas Anwar menegtahui tindakan itu sehari selepas dibebaskan.

Beliau juga tidak menafikan sebarang kemungkinan polis mengambil DNA Anwar melalui kesan-kesan yang diambil, namun beliau menegaskan bahawa secara saintifiknya sampel itu tidak boleh digunakan.

Sivarasa juga mendakwa, polis turut merakam seluruh pergerakan Anwar, menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) dan perakam video sepanjang beliau berada di Kuala Lumpur, tambah Sivarasa.

Rakaman kamera video itu dibuat oleh anggota polis yang berpakaian biasa, kata Sivarasa.
"Memang kita akan bangkitkan, dalam kes-kes lain tidak ada, tetapi dalam kes Anwar ada. Ini jadi satu persoalan. Ini menunjukkan motif pihak penyiasat. Pihak polis dalam kes ini tidak ikhlas. Ada niat politik tidak ikhlas.," katanya

Begitupun ujar Sivarasa, rakaman tidak dibuat semasa Anwar bersama doktor untuk pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur. /wann _
[Read More...]


Anwar serah 8 dokumen pada BPR babitkan Gani dan Musa



Roy Rasul Foto Wan Zahari Wan Salleh Mon

Jul 21, 08 5:31:33 pm MYT

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Hrkh) - Ketua Umum Parti KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim menyerahkan lapan dokumen kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) di ibu pejabatnya di Putra Jaya hari ini berhubung dakwaannya terhadap Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan pasukan mereka.
Dakwanya, Gani Patail dan Musa terlibat memalsukan keterangan beliau dipukul oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor pada 1998.
Anwar yang bercakap kepada kira-kira 50 wakil media yang menunggunya di luar pintu di Bangunan BPR sejak 10 pagi tadi berkata beliau, turut membawa kes jenayah bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Nor terhadapnya.
Selain itu katanya, beliau juga mengemukakan dokumen mengenai ujian DNA beliau yang diambil pada tahun 1998 untuk menghina beliau.
"Saya berpuas hati kerana BPR mencatat semua keterangan dengan profesional dan mereka meminta dokumen dan saya berikan semua dokumen yang ada di tangan saya," katanya yang ditemani dua peguamnya, Sivarasa Rasiah dan Dato' Parakumarasan.

Beliau memberi keterangan selama lebih tiga jam kepada BPR.
Anwar yang hadir di Ibu Pejabat BPR pada jam 9.30 pagi tadi memberi keterangan kali kedua selepas beliau hadir pada Rabu lepas berhubung laporan polis dibuatnya 1 Julai lalu.
Beliau memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuat terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.
Dalam pada itu, ditanya mengenai fail saman RM5 juta terhadapnya oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan, hari ini, berkata beliau dengan senang hati beliau akan berhadapan kes tersebut di mahkamah.

Dalam sidang media yang sama, Anwar menafikan beliau "mempolitikkan" isu beliau dibogel ketika menjalani pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebagaimana didakwa Menteri Dalam Negeri Dato' Seri Syed Hamid Albar.

"Saya ditelanjang sewaktu pemeriksaan doktor dan kemaluan saya diukur.
"Saya diminta mengisi "borang mangsa rogol" di HKL minggu lepas semasa saya dibawa polis untuk pemeriksaan dalam siasatan dakwaan meliwat pembantu saya," ulanginya mengenai dakwaan beliau dibogel oleh HKL baru-baru ini.
Sementara itu, bercakap mengenai isu muzakarah PAS dan Umno, katanya, beliau menerimanya dengan baik.

Bagaimanapun katanya, beliau menyerahkan isu tersebut kepada Presiden KeADILan, Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail. - mks._
[Read More...]


Jangan Sokong BN kita Sokong PAS oleh DSAI & TUN



Assalamuallaikum,
Sempena kedatangan tahun baru 2008 disini TVceramah menyiarkan 2 ceramah dari 2 penceramah yg mana pernah memegang jawatan tertinggi dan kedua tertinggi dalam negara dan jugak pernah menjadi rakan sekerusi semeja. KINI kedua-dua mereka sudah tidak lagi memegang jawatan utama negara yg mana seorang telah berhenti dan seorang telah diberhentikan. Jadi sama-samalah saksikan ucapan yang disampaikan oleh mereka...

TVceramah : Jangan Sokong BN Oleh DSAI
TVceramah : Jom Sokong PAS Oleh Tun Mahathir TVceramah@gmail.comhttp://TVceramah.tblog.com
[Read More...]


For Palestine

Boikot Israel & Amerika

Jawatan Kosong
Iklan

WebTV

WebTV (Auto Channel)

Jika anda tidak dapat menonton siaran ini, sila muat turun & install plug-in P2P TV di sini

P2P TV hanya boleh dilayari dengan menggunakan Internet Explorer dengan syarat port 3502, 5000 - 6000 dibuka di firewall.

Categories

Mari membaca al-Quran
























Return to top of page Copyright © 2011 | Platinum Theme Converted into Blogger Template by Hack Tutors