Moga kestabilan negara, ketenteraman rakyat tidak terjejas



Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Thu Oct 09, 08 3:53:03 pm MYT

PAS mengikuti dengan penuh teliti perkembangan terbaru yang melibatkan Presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia.

Walau bagaimanapun PAS menganggap bahawa keputusan Presiden Umno Dato' Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden Umno dalam Perhimpunan Agung Umno Mac depan lebih sebagai suatu masalah dalaman bagi parti tersebut.

Saya berharap agar dalam tempuh peralihan ini Perdana Menteri akan berjaya melakasanakan inisiatif-inisiatif memperkukuhkan institusi negara yang sedang diusahaknnya itu iaitu menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang diberi mandat dalam pelantikan hakim, membentangkan rang undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah di Parlimen dan menubuhkan Suruhanjaya Aduan Khas bagi memperkukuhkan integriti dan keberkesanan agensi penguatkuasaan.

Di samping itu, inisiatif untuk memperluaskan jaringan keselamatan sosial agar rakyat yang miskin dapat dibantu juga ditunggu-tunggu.

Sekurang-kurangnya dengan terlaksananya inisiatif-inisiatif ini beliau akan berjaya meninggalkan jasa yang boleh dikenang oleh rakyat dan negara dan tidak membiarkan masalah-masalah ini berlarutan sehingga diwarisi pula oleh sesiapa juga pewarisnya nanti.

PAS berharap agar proses peralihan kuasa ini akan berjalan dalam suasana yang baik dan lancar tanpa menjejaskan kestabilan negara dan ketenteraman rakyat.

Presiden
Parti Islam Se Malaysia (PAS)._
[Read More...]


PAS akan sertai perubahan kerajaan dengan syarat Islam memandu



Izwan Abdul Halim
Thu Sep 18, 08 1:31:35 pm MYT

KOTA SARANG SEMUT, 18 Sept (Hrkh) - PAS akan tetap menyertai perubahan kerajaan dengan syarat kerajaan itu nanti mestilah dipandu oleh Islam.

Demikian ditegaskan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semasa menyampaikan Ceramah Nuzul Quran Dan Penjelasan Isu 16 September di Kompleks PAS Kedah, di sini semalam.

"Sekarang kita dalam usaha membuat perubahan walaupun disebut 16 September, sudah lepas 16 September hari ini. Walaupun sudah lepas, tetapi kita berusaha hendak buat perubahan, perubahan untuk menukar kerajaan.

"PAS akan menyertai perubahan kerajaan ini dengan syarat. Syaratnya ialah kerajaan ini mestilah dipandu oleh Islam. Dipandu oleh orang-orang Islam. Ini syarat yang dikenakan oleh PAS," tegas beliau yang disambut dengan laungan takbir.

Menurut beliau, jika syarat ini tidak dipenuhi, PAS tidak akan menyertai perubahan tersebut. Pun begitu, katanya, sehingga hari ini PAS melihat tanda-tanda awal bahawa syarat itu hendak diterima.

"Tetapi kalau syarat itu tidak diterima, kita teguh dengan prinsip. Kita minta pengikut-pengikut PAS setia dengan perjuangan. Ikut arahan, jangan lari dari jamaah biar apa sekalipun berlaku. Ini tanggungjawab dan kewajipan," tegasnya.

Terdahulu, Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak yang turut menyampaikan ucapan pada ceramah tersebut melahirkan keyakinan kepada kepimpinan Ustaz Abdul Hadi.

"Kita tetap dengan Ustaz Abdul Hadi sebagai Presiden PAS, kita tidak akan gadai perjuangan kita, kita tidak akan bertukar ganti prinsip. Ustaz Abdul hadi telahpun membawa maruah PAS," ujar beliau yang juga Menteri Besar Kedah.

Majlis semalam dimulakan dengan tahlil dan berbuka puasa yang turut disertai Dato' Seri Presiden PAS. Lebih 5,000 hadirin memenuhi Kompleks PAS Kedah itu semalam mendengar ceramah dua tokoh terbabit.
[Read More...]


Masa untuk menyertai PAS



Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Tue Sep 16, 08 2:41:30 pm MYT

Umum mengetahui bahawa negara kita kini berada dalam suasana kegawatan ekonomi yang menekan rakyat yang sebahagiannya adalah hasil dari kalutnya kepimpinan negara dalam menguruskan polisi dan pelaksanaan pembangunan ekonomi negara.

Suasana ini diburukkan lagi dengan kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui oleh Umno untuk memastikan suasana kestabilan politik dan keharmonian kaum yang terus dihormati.

Umno yang satu ketika dahulu digambarkan sebagai lantang memperjuangkan nasib orang Melayu di awal penubuhannya, kini telah hilang taring dan gagal dalam memastikan maruah umat Islam dan orang Melayu terbela.

Gambaran bahawa terjejasnya keharmonian kaum ini oleh pimpinan Umno seolah-olah hubungan kaum di Malaysia kini berada pada tahap yang paling rendah juga sebenarnya adalah cubaan Umno untuk mengalih masalah yang berlaku di kalangan parti komponen BN pada ketika ini.

Sehubungan itu, Parti Islam Se Malaysia (PAS) berpendapat bahawa sudah sampai masanya bagi umat Islam dalam negara kita ini untuk berhijrah kepada PAS dan seterusnya menjadikan PAS sebagai parti tempat bernaung.

PAS adalah parti yang tidak diasaskan kepada prinsip perkauman atau asas perjuangan yang sempit, tetapi dibina di atas dasar memperjuangkan Islam dan keadilan yang lebih universal sifatnya, maka PAS percaya bahawa orang-orang Islam di Malaysia secara umumnya dan ahli-ahli Umno beserta pimpinannya secara khusus memerlukan satu wadah baru yang lebih konsisten dan mampu menjadi penyelamat yang akan memartabatkan maruah ummah.

Sebagaimana yang dipertegaskan oleh PAS dalam Muktamar PAS ke-54 yang lalu dengan tema "PAS UNTUK SEMUA", bahawa sebenarnya perjuangan PAS tetap kekal utuh dan bertahan sehingga ke hari ini kerana mempunyai tujuan penubuhannya yang berteraskan kepada akidah perjuangan yang jelas.

PAS bukannya sebuah parti politik semata-mata, tetapi adalah satu wadah dakwah dan tarbiyah. Perjuangan PAS adalah bersifat universal, untuk seluruh umat manusia, membawa keadilan sejagat, sebagaimana yang termaktub dalam Bab Ketiga, Fasal 6, Perkara (8), (9) dan (10), Perlembagaan PAS di mana usaha-usaha PAS ialah:

- Memperjuangkan wujudnya kebudayaan negara berasaskan nilai-nilai yang tidak bercanggah
dengan ajaran-ajaran Islam,
- Memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini tanpa mengabaikan
tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat Malaysia dan tanggungjawab
mewujudkan keharmonian antara kaum di dalam negara ini,
- Menyertai dan bekerjasama dengan Bangsa-Bangsa Bersatu dan badan-badan lain yang sah
bagi mengekalkan keamanan dan menjamin hak-hak asasi manusia serta manghapuskan
segala macam kezaliman, kepalsuan, perhambaan dan penindasan di kalangan umat manusia.
Bertitik tolak dari hakikat ini, maka PAS sudah lama bersedia untuk mengisi kekosongan politik yang ditinggalkan oleh Umno ini. PAS percaya bahawa ahli-ahli dan pimpinan Umno ini boleh memberi sumbangan tenaga mereka menerusi PAS.

Marilah bersama-sama kita bina wadah PAS ini supaya menjadi lebih kuat dan mampu berdepan dengan pelbagai cabaran yang mendatang.

Marilah bersama-sama menyertai PAS!

16 September 2008/ 16 Ramadhan 1429
DATO' SERI TUAN GURU HJ ABD. HADI AWANGPresiden, Parti Islam Se Malaysia (PAS)
[Read More...]


Penahanan Raja Petra, Teresa dan Tan memburukkan lagi rekod kerajaan



Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Sat Sep 13, 08 2:36:18 pm MYT

PAS memandang serius beberapa siri tangkapan di bawah akta zalim ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) yang dilakukan oleh pihak polis sepanjang hari semalam.


Dalam suasana negara baru sahaja meraikan ulangtahun kemerdekaan negara yang ke 51, PAS merasakan sepatutnya pihak kerajaan sudah mula bergerak ke arah melupuskan sama-sekali akta zalim warisan penjajah ini.

Penahanan penulis dan pengkritik masyarakat Raja Petra Raja Kamarudin di bawah ISA hanya akan memburukkan lagi rekod kepimpinan kerajaan yang sedia ada.

PAS merasakan sekiranya Raja Petra didapati telah melanggar mana-mana peraturan atau undang-undang maka tindakan yang sewajarnya terhadap beliau adalah mendakwanya di mahkamah yang terbuka bagi mana-mana kesalahan yang dilakukannya dan tidak dengan menggunakan ISA.

Dalam waktu yang sama PAS turut mengutuk mana-mana pihak samada dari kerajaan atau pembangkang yang mengambil kesempatan mengapi-apikan isu perkauman dan keagamaan sehingga mencetuskan keresahan dan pecah-belah di kalangan masyarakat.

Mereka ini seharusnya diambil tindakan berdasarkan mana-mana peraturan dan undang-undang yang ada dan diberikan peluang membela diri di mahkamah.

PAS menyeru semua pihak agar bertenang dan tidak mencetuskan kekeruhan dikalangan masyarakat. PAS turut ingin menasihatkan pihak polis dan kerajaan agar memastikan yang kestabilan negara dan keharmonian masyarakat terus kekal dalam negara kita yang tercinta ini.

PAS turut merakamkan simpati kepada keluarga Raja Putra, wartawan Sin Chew Daily News Cik Tan Hoon Cheng dan ahli Parlimen Seputeh/ ahli EXCO Selangor YB Teresa Kok, semoga mereka dan ahli keluarga diberikan kesabaran dalam menghadapi situasi yang mencabar ini./wann

Presiden PAS
Dato? Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
(13 September 2008)_
[Read More...]


Ramadan : Tetamu yang dirindui



Oleh : Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Ramadan, tetamu yang dirindui, demikian tajuk kitab terbaru karangan Tuan Guru Presiden.

Kitab yang menjelaskan bab Puasa Ramadan, yang dimulakan dengan sejarah puasa itu sendiri.Kitab yang diterbitkan oleh PTS ini adalah untuk tujuan mengumpul dana Maahad Darul Quran, Rusila, Marang.
Amat sesuai dan bertepatan dengan suasana menghadapi bulan Ramadan ini.Sangat laris dipasaran sekarang.Dapatkan naskah untuk anda dan keluarga, hubungiUstaz Haji Raziman Awang : 019-9132773
[Read More...]


Perutusan Ulangtahun Kemerdekaan ke-51



Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Sat Aug 30, 08 7:53:59 am MYT

Alhamdulillah negara kita Malaysia akan merayakan ulangtahun kemerdekaannya yang ke-51 pada 31 Ogos 2008 ini.

Penambahan usia negara kita ini seharusnya tidak melupakan kita kepada jasa dan pengorbanan mereka yang terdahulu yang telah bertungkus-lumus berkorban dan berjuang bagi memerdekakan tanah air yang tercinta ini dari belenggu penjajah.

Menurut lipatan sejarah PAS sendiri telah terlibat dalam menyumbang terhadap kemerdekaan negara kita sejak dari tarikh keramat penubuhannya pada tahun 1951, iaitu warisan dari perjuangan Hizbul Muslimin yang diharamkan British pada tahun 1948.

Malah tujuan penubuhan PAS itu sendiri adalah bagi memenuhi tuntutan melepaskan negara ini dari sebarang rupa dan bentuk penjajahan oleh kuasa bukan Islam sama ada dalam bentuk politik, ekonomi, sosial atau kebudayaan.

Kerana itu PAS telah terlibat secara aktif bersama parti-parti lain ketika itu bagi menuntut penjajah British untuk mengadakan pilihan raya umum sehingga terzahirnya pilihan raya umum persekutuan pada tahun 1955 dimana PAS telah mengambil bahagian dan memenangi satu kerusi.

Di ambang kemerdekaan ketika itu PAS juga turut mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Reid bagi menggubal perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.

Kerana itu PAS turut berbangga merayakan ulangtahun kemerdekaan ini sehinggakan perlembagaan PAS fasal 5(2) menyebut bahawa tujuan perjuangan PAS termasuklah mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Sepanjang 51 tahun usia kemerdekaan negara ini PAS telah terus gigih berjuang jatuh dan bangun mengisi kemerdekaan ini dengan Islam yang merupakan prinsip dan dasar perjuangannya.

PAS telah menyumbang dalam pembangunan negara melalui wakil-wakil rakyatnya serta kerajaan-kerajaan negeri yang dipimpinnya disamping yang ia turut serta terlibat di dalamnya.
Saya yakin dan percaya berteraskan dasar perjuangannya itu PAS akan terus berperanan di dalam negara Malaysia yang Merdeka dan berbilang kaum ini sehingga lahir di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang adil dan saksama yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dengan peraturan dan hukum yang diredhai Allah SWT.

Politik Islam yang luhur yang dibawa oleh PAS akan terus relevan kerana ianya keperluan manusia secara fitrah dan menepati obejektif peranan manusia yang dijadikan oleh Tuhan pencipta alam ini. Allah swt telah menetapkan beberapa prinsip yang menjadi landasan yang wajib ditaati oleh hamba ciptaanNya secara menyeluruh. Prinsip ini terkandung dalam surah an Nisa ayat ke 58-59:

"Sesungguhnya Allah memerintah supaya kamu menunaikan amanah kepada ahlinya dan apabila kamu menjalankan hukum di kalangan manusia hendaklah melaksanakan hukum itu dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa melihat . Wahai orang-orang yamng beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan ulil amri (orang-orang yang mengendalikan urusan yang terdiri daripada pemimpin dan ulamak). maka jika sekiranya kamu bertelingkah dalam apa-apa perkara, hendaklah kamu kembalikan penyelesaiannya kepada Allah (al Quran) dan Rasul (as Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Itulah sebaik-baik dan lebih elok penyelesaiannya."


Selamat menyambut ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-51, "Perpaduan teras kejayaan" dengan izin Allah SWT.
[Read More...]


Lawatan ke MAHA 2008, hebatnya Tuan Guru Presiden kita



Roslan Shahir
Thu Aug 21, 08 12:33:55 pm MYT

Petang semalam (20 Ogos 2008) saya sempat menyertai rombongan Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, Presiden PAS yang juga ahli parlimen Marang, ke tapak MAHA 2008 atau Malaysia, Agriculture, Horticulture and Agrotourism Exhibition 2008 bertempat di Malaysia Agro Exposition Park di Serdang, Selangor.

Pameran MAHA 2008 ini merupakan pameran pertanian terbesar di Asia Tenggara anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta FAMA. Turut serta dalam rombongan kami adalah Timbalan Presiden. Ustaz Nasharudin Mat Isa yang juga ahli parlimen Bachok, SETPOL Presiden dan Setiausaha Sulitnya.

Sejurus tiba Tuan Guru Presiden telah disambut oleh para pegawai kanan kementerian diketuai oleh Timbalan Menteri Pertanian Dato' Rohani Abdul Karim. Seluruh para pegawai kanan ternyata kelihatan begitu gembira meraikan kehadiran Tuan Guru dan rombongan.

Dato' Rohani dan pegawai kanannya telah memberikan taklimat ringkas berkenaan pameran ini dan tapaknya sebelum rombongan dibawa ke tapak-tapak yang dikenal-pasti.

Ternyata kehadiran Tuan Guru ke pameran ini didorong oleh minat beliau yang begitu kuat terhadap sektor pertanian khususnya yang melibatkan penternakan dan perikanan.

Saya memerhatikan pengunjung MAHA yang begitu ramai, kebetulan dimusim cuti sekolah ini, begitu senang hati kerana tidak menyangka dapat bertembung dengan Presiden PAS di tapak pameran ini.

Ianya menjadi sungguh meriah sehingga Tuan Guru tidak dapat memberikan perhatian penuh kepada taklimat yang diberikan oleh pegawai-pegawai pengiring apabila para pengunjung yang hadir tidak putus-putus bersalaman dan mohon untuk bergambar dengan beliau dan Timbalannya.

Ada yang mengambil kesempatan berpelukan dengan beliau, anak-anak kecil mengucup tangan beliau dan yang berjabat tangan termasuklah dari pengunjung Cina dan India.

Seorang pegawai pameran berbangsa Cina malah menyatakan beliau kagum melihat Tuan Guru sudi mengunjungi setiap tapak pameran yang beliau dibawa melawat, sedangkan menurutnya VIP yang lain sebelum ini tidak pun berbuat begitu.

Bagaimanapun pelawaan untuk menjamu Presiden oleh pihak penganjur dan mereka yang mengendalikan pameran tidak dapat dipenuhi oleh Tuan Guru Presiden oleh kerana beliau berpuasa.

Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa sebelum PRU ke 12 lalu Tuan Guru telah bernazar akan berpuasa sejumlah hari bersamaan dengan bilangan kerusi yang dimenangi PAS dalam PRU itu.

Dalam PRU ke 12 PAS memenangi 23 kerusi Parlimen dan 83 kerusi DUN, bermakna beliau perlu berpuasa sebanyak 106 hari. Agaknya berapa orang pemimpin PAS yang bernazar sedemikian?

Bagi Tuan Guru industri pertanian adalah suatu industri yang paling kritikal dalam negara kerana kita perlu bebas dari bergantung kepada negara luar bagi bekalan makanan kita.

Industri pertanian juga jika dimajukan akan menjadi penjana ekonomi yang besar buat negara. Tuan Guru mengharapkan agar kerajaan akan dapat memberikan insentif bagi mereka yang menceburi industri ini agar sektor ini akan dapat terus maju dan berkembang.

Menurut Tuan Guru lagi pameran seperti ini perlu diberikan galakan kerana ianya berguna dan bermakna bukan hanya bagi mereka yang terlibat dalam industri ini malah ia akan mampu memberikan ilmu dan kefahaman kepada anak-anak kita yang boleh tertarik dengan pameran-pameran yang disediakan.

Tuan Guru menghabiskan lebih dua jam melawat tapak pameran yang mempamirkan hasil-hasil ternakan, pameran perikanan dan jentera pertanian.

Banyak lagi tapak yang tidak dapat dikunjungi oleh kerana kesuntukkan masa. Kesimpulannya, lawatan ini sangat bermakna buat semua yang hadir kerana banyak ilmu dan maklumat yang telah dapat dikumpul sepanjang lebih dua jam itu.

Bagi saya yang lebih bermakna adalah ukhuwah dan kemesraan yang dapat dijalin oleh pemimpin nombor satu PAS itu dengan para pegawai kerajaan, kakitangan biasa, mereka yang terlibat dalam industri ini serta orang-ramai yang berkunjung disamping wartawan yang turut hadir membuat liputan.

Saya yakin kalau ada kesempatan lagi Tuan Guru pasti mahu berkunjung lagi.

(Roslan Shahir bin Dato' Mohd Shahir adalah Setiausaha Akhbar Presiden PAS). - mr_
[Read More...]


Kes umat Islam, hanya Mahkamah Syariah beri keadilan - Presiden



Mohd Zamirul Mohd Dzaki
Mon Aug 11, 08 12:53:58 pm MYT

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Hrkh) - Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS mahukan isu liwat yang dikait dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim dibawa ke mahkamah syariah dan bukannya dibicarakan di mahkamah sivil.

Beliau berkata, kes liwat yang membabitkan orang Islam adalah perkara jenayah di dalam perundangan Islam sama seperti kes zina dan lain-lain maka ianya perlu dibawa ke mahkamah syariah.

"Negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat seperti Selangor perlu menggubal perundangan tersebut kerana melalui mahkamah syariah sahaja keadilan dapat diperolehi," katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen PAS Pulau Pinang di Dewan SEAMO, RECSAM semalam.

PAS juga, tambah Dato' Seri Abdul Hadi, menolak sebarang bentuk campur tangan kuasa luar dalam penyelesiaan pertuduhan kes liwat terhadap Anwar.

"Kalau Amerika nak campur tangan, biar mereka selesaikan di Gautonama dulu" katanya.
Menurutnya lagi, pertuduhan liwat yang dikenakan terhadap Dato' Seri Anwar adalah satu kezaliman.

Ini kerana, ianya dilihat sebagai taktik Umno untuk memusnahkan masa depan politik mantan Timbalan Perdana Menteri itu.

"Kita perlu bersimpati kepada mereka yang dizalimi walaupun kepada mereka bukan dari ahli parti kita," katanya.

Tambahnya lagi, menurut Islam seseorang itu tidak bersalah selagi dia belum didapati atau berjaya dibuktikan bersalah.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Dr Mujahid Yusuf Rawa; Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Salleh Man; Penyelaras Pilihan raya PAS Pusat di Permatang Pauh, Wan Rahim Wan Abdullah dan beberapa pemimpin PAS lain. - mks. _
[Read More...]


Keputusan JK PAS Pusat



Berikut adalah kenaytaan media Tuan Guru Presiden PAS setelah mempengerusikan mesyuarat JK PAS Pusat siang tadi bersekali dengan Majlis Syura Ulamak PAS:

PAS TOLAK TAWARAN UMNOTETAPI AKAN TERUSKAN PERBINCANGANDEMI KEPENTINGAN NEGARA DAN UMMAH


PAS menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk mewujudkan kerajaan samada diperingkat Pusat ataupun negeri-negeri.


Oleh itu sebarang tawaran daripada Umno untuk mewujudkan kerajaan bersama disemua peringkat tidak lagi berbangkit.Walaubagaimanapun PAS akan terus terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan semua pihak termasuk parti-parti politik , NGO, institusi-institusi dan mana-mana individu demi kepentingan negara dan ummah.


Dalam pada itu PAS mengulangi pendiriannya kekal bersama Pakatan Rakyat dengan memainkan peranan yang aktif dan positif selaras dengan perjuangannya.


DATO’ SERI TUAN GURU HJ ABD. HADI AWANG

PresidenParti Islam Se Malaysia (PAS)

31 Julai 2008
[Read More...]


Tutup fail muzakarah, hanya ada sekadar muqabalah - Mursyidul Am




KOTA BHARU, 23 Julai (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan isu muzakarah sudah tutup fail dan apa yang berlaku sekadar pertemuan biasa (muqabalah)."Pada kenyataan yang lepas saya benarkan pertemuan di antara pemimpin PAS dan Umno berkaitan Islam dan masalah rakyat, serupa sahaja dengan kenyataan yang disebut Presiden PAS.

"Kalau difahami betul-betul tidak bercanggah di antara satu sama lain. Kalau ada perjumpaan hendak masuk Barisan Nasional ia langsung tidak ada. Kenyataan Presiden pun memang begitu,"katanya pada persidangan media di sini, lewat petang ini.

Sebelum itu rombongan anggota Majlis Syura Ulama mengunjungi Menteri Besar Kelantan di JKR 10 di sini. Perbincangan terbabit diadakan hampir dua jam.

Turut kelihatan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; timbalannya, Ustaz Nasharuddin Mat Isa; Timbalan Mursyidul Am, Dato' Dr Haron Din; Naib Presiden, Ustaz Ahmad Awang dan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato' Mohamed Daud.

Ikut serta pertemuan tersebut Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Dato' Abdul Halim Abdul Rahman.

Bagaimanapun Tuan Guru Nik Abdul Aziz mahu perkataan muzakarah yang di'geger'kan sebelum ini ditukar kepada istilah muqabalah (perjumpaan biasa).

Menurutnya keputusan syura sebelum ini bersetuju diadakan pertemuan biasa dengan pemimpin Umno kerana syura sudah membuat keputusan sebulat suara.

Perkara itu diputuskan pada 23 April lalu manakala pertemuan dengan pemimpin Umno hanya diadakan pada 20 Julai lalu.

Ustaz Abdul Hadi pula berkata, apa yang sebenarnya berlaku bukan muzakarah sebaliknya muqabalah di antara PAS dengan Umno bagi menyelesaikan masalah-masalah yang dialami umat Islam dan rakyat seluruh negara.

"Masalah yang dialami di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat kita minta kerajaan pusat menyelesaikan. Itu yang kita bincangkan dalam pertemuan dengan pemimpin Umno.

"Tidak timbul masalah PAS menyertai kerajaan kerana PAS masih lagi bersama dengan Pakatan Rakyat. Kita akan terus dengan Pakatan sekarang memenuhi hikmah-hikmah politik yang kita perjuangkan,"katanya.

Bagaimanapun katanya dalam Pakatan Rakyat persefahaman kita tidak akan menjadi halangan, masing-masing memperjuangkan ideologi dan tetap berganding dalam isu-isu bersama.

Menurutnya sebagai orang Islam, PAS wajib menyuarakan kepada orang Islam lain dan dalam masa yang sama tidak mengabaikan keadilan Islam kepada semua kaum yang ada di negara ini.
Kata beliau di atas prinsip itulah diputuskan Majlis Syura Ulama di mana Timbalan Presiden dan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali bertemu dengan pemimpin Umno bagi menimbulkan isu-isu berkaitan.

Manakala Dr Haron berkata, Majlis Syura Ulama PAS menyedari masalah tersebut berlaku sebelum disedari wartawan, di mana perbincangan Majlis Syura mengenainya dibuat pada April lalu.

"Ketika itu tidak timbul isu muzakarah. Majlis Syura telah menangapi perlu diberi ruang untuk kita bermuqabalah dari face to face.

"Namun apa yang timbul sekarang perkataan muzakarah itu seolah perlawanan seperti yang berlaku di Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini di antara Menteri Penerangan dan Dato' Seri Anwar Ibrahim.

"Kita tidak mahu berlawan macam itu, kita nafikan ada muzakarah. Kalau dedahkan begitu akan menimbulkan masalah kerana akan ada yang kalah dan menang. Hanya apa yang ada sekadar pertemuan biasa," katanya.

Beliau menjelaskan mengapa hendak dilarang pertemuan biasa dan PAS bersetuju bekerjasama dalam semua perkara demi kebaikan semua rakyat di Malaysia.

Ditanya pertemuan lain bakal diadakan selepas ini, kata beliau itu mengikut keperluan.
"Bagaimanapun kita mahu lihat respon daripada Umno terhadap apa yang kita kemukakan terlebih dahulu," ujarnya.

Menurutnya juga usaha pertemuan itu sebenarnya dianjurkan pihak Umno.
Kata beliau, mereka yang mengusahakan dan bukti jelas dilihat kepada kenyataan ada tiga pertemuan sebelum ini dibuat sendiri Presiden Umno.

"Mereka yang membuat kenyataan dan merekalah yang mengusahakan pertemuan sebelum ini,"katanya. - mj/mks
[Read More...]


For Palestine

Boikot Israel & Amerika

Jawatan Kosong
Iklan

WebTV

WebTV (Auto Channel)

Jika anda tidak dapat menonton siaran ini, sila muat turun & install plug-in P2P TV di sini

P2P TV hanya boleh dilayari dengan menggunakan Internet Explorer dengan syarat port 3502, 5000 - 6000 dibuka di firewall.

Categories

Mari membaca al-Quran
























Return to top of page Copyright © 2011 | Platinum Theme Converted into Blogger Template by Hack Tutors