2 Adun BN akui buat silap besar fitnah Husam Musa



Dari Harakahdaily

Mohd Nor Yahya Foto Rizal Tahir Wed Jun 03, 09 3:06:32 pm MYT
KOTA BHARU, 3 Jun (Hrkh) - Sejak menerajui Kelantan hampir 20 tahun lalu, pemimpin kerajaan PAS ternyata bebas daripada segala unsur rasuah dan penyelewengan kuasa.

Malah segala dakwaan yang dilemparkan pihak lawan tidak lebih sekadar gimik politik yang gagal dibuktikan di mahkamah.

Inilah juga yang berlaku terhadap anggota Exco kerajaan negeri, Dato' Husam Musa apabila difitnah dengan dakwaan melakukan penyelewangan, namun tiada sebarang bukti.

Ekoran itu, hari ini seorang lagi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) iaitu Adun Bukit Bunga, Mohd Adhan Kechik membuat kenyataan memohon maaf secara terbuka kepada Husam.

Semalam, Adun Paloh, Dato' Nozula Mat Diah lebih awal menarik balik segala tuduhan tidak berasas yang dilemparkan terhadap anggota Exco terbabit dua tahun lalu.

Pada 27 November 2007 Adun terbabit membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah dengan menyerahkan dokumen yang diperolehi dari sumber yang tidak pasti kononnya penyelewengan dilakukan Husam.

Dakwaan mereka sebelum ini membabitkan sembilan isu termasuk salah guna kuasa, penyelewengan Pengarah Urusan Air Kelantan Sdn. Bhd, isu kedai Majlis Daerah Machang dan kambing jamnapari.

Sumber: Baca lagi
[Read More...]


Solat Hajat, doa bebaskan tebusan kapal MISC



Azamin
Fri Sep 26, 08 11:38:34 pm MYT
KUALA LUMPUR, 26 Sept (Hrkh) - PAS menyeru semua ahli di pelbagai peringkat termasuk umat Islam di seluruh negara untuk menunaikan solat hajat dan mendoakan agar kesemua 80 anak kapal Malaysia International Shipping Corporation (MISC) Berhad yang menjadi tebusan lanun di Teluk Aden segera dibebaskan daalam keadaan selamat.

Setiausaha Agung PAS Dato' Kamarudin Jaffar berkata keluarga mangsa pasti merasa resah dan sedih kerana nasib anak kapal tersebut masih 'terumbang-ambing' kerana sudah menjadi tebusan lebih 40 hari, tambahan pula tatkala umat Islam di Malaysia bakal menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

"Sehubungan dengan itu, dengan kemampuan yang ada kita mestilah sentiasa memberi sokongan moral kepada keluarga mangsa dan bersama-samalah bermunajat ke hadrat Allah agar mereka semua dibebaskan dengan secepat mungkin," katanya kepada Harakah.

Beliau mahu ahli-ahli PAS dan umat Islam setiap masa mendoakan keselamatan tebusan terbabit ketika menunaikan solat tarawikh, berbuka puasa ataupun sewaktu melaksanakan amal ibadat lain.

"Ini ujian yang dihadi oleh mereka, esok-esok kita tidak tahu bahgian dan ujian kepada kita pula. Sama-samalah bermuhasabah diri dan mendoakan mereka," katanya yang juga Ahli Parlimen Tumpat.

Beliau juga meminta agar kerajaan Malaysia memberi bantuan sewajarnya dan melakukan tindakan drastik untuk memastikan keselamatan anak-anak kapal terbabit terjamin di samping memberi 'tekanan' kepada lanun dan pihak berkaitan untuk segera membebaskan mereka.

"PAS juga berharap agar kaum keluarga tebusan tabah menghadapi ujian getir ini dan sentiasa berfikiran positif dan yakin dengan pertolongan Allah swt," katanya.

Sementara itu mengulas isu sama, Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata PAS mahu kerajaan Malaysia bertindak lebih agresif bagi membantu menyelamatkan nyawa mereka dan tidak mengambil tempoh yang terlalu sehingga membahayakan keselamatan dan mendatangkan kebimbangan serius kepada kamu keluarga mangsa.

"PAS juga membantu dan berusaha secara diplomatik dan menggunakan saluran tidak rasmi dalam usaha untuk membebaskan rakyat malah gerak kerja sudah dari awal, sejak hari pertama kapal dirampas. Kita sudah menghubungi rakan-rakan di Timur Tengah namun tidak boleh maklumkan secara terperinci atas sudut keselamatan.

"Sebolehnya konflik ini kita mahu diselesaikan sebelum umat Islam menyambut Syawal," katanya ketika dihubungi Harakah.

Untuk rekod Kapal dagang MT Bunga Melati Dua milik MISC telah dirampas lanun di perairan Teluk Aden, antara Somalia dan Yemen pada 19 Ogos 2008 jam 10.09 malam di mana terdapat 29 warga Malaysia dan 10 warga Filipina dalam kapal itu semasa kejadian.

Kapal tangki itu membawa minyak kelapa sawit belayar dari Dumai, Sumatera, Indonesia ke Rotterdam , Belanda. Pasukan lanun itu dilaporkan menggunakan senjata moden seperti AK-47 dan pelancar granade dan memanjat dinding vesel dengan galah. Kapal itu seberat 32,169 tan dibina pada 1997 dan mampu dipintas oleh bot laju lanun.

Manakala kapal MT Bunga Melati Lima telah dirampas oleh lanun di Teluk Aden, Somalia - Yemen jam 9.50 malam , 29 Ogos 2008, 10 hari selepas kejadian pertama 19 Ogos 2008 .

Kapal itu dikendalikan oleh 41 anak kapal termasuk 36 warga Malaysia dan krew penyelenggaraan sementara warga Filipina . Kapal itu membawa 30,000 MT bahan petrokimia dari Yanbu, Arab Saudi ke pelabuhan Singapura
[Read More...]


Pemuda PAS Pahang sumbang RM5 ribu kepada tabung ISA



Anis Nazri
Fri Sep 26, 08 11:42:07 pm MYT
KUALA LUMPUR, 26 Sept (Hrkh) - Dewan pemuda PAS Pahang menyampaikan sumbangan berjumlah RM 5000 sebagai bantuan meringankan beban keluarga tahanan ISA, khususnya menjelang Syawal akan datang.
Pemangku Ketua Pemuda PAS Pahang, Suhaimi Md Saad, dalam kunjungan ke pejabat Harakah, hari ini menyampaikan sumbangan tersebut kepada Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) melalui Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman, pagi tadi.
Menurut Suhaimi, sumbangan tersebut menunjukkan kebersamaan dewan itu dengan isteri-isteri tahanan ISA dalam memahami dan menyelami kesengsaraan keluarga tahanan yang ditinggalkan.
Dalam pada itu, aktivis GMI, Norlaila Othman, yang turut hadir, menyatakan bahawa Suhaimi dan Pemuda PAS Pahang sentiasa komited dalam isu kebajikan keluarga tahanan ISA.
"Bukan baru sekarang, ustaz dan Pemuda Pahang membantu GMI. Tetapi dari dahulu lagi. Malah, ustaz juga yang berjaya menjual buku 'Dunia Tanpa Suami' tulisan saya dan beberapa rakan lain dengan bilangan yang banyak," kata beliau.
Sementara itu, Ahmad Lutfi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dewan Pemuda PAS Pahang atas sumbangan ikhlas yang diberikan kepada GMI untuk meringankan beban keluarga ISA.
Beliau turut mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada para pembaca Harakah yang tidak putus-putus menyalurkan bantuan ke tabung yang diwujudkan Harakah bagi tujuan tersebut.
"Pada awalnya, kami di Harakah tidak menjangkakan akan mendapat sambutan yang begitu baik dari seluruh masyarakat. Sehingga hari ini, tabung kami telah mencecah hampir RM 100 ribu dan sebahagiannya sudah disampaikan kepada GMI dan keluarga tahanan sendiri," kata beliau.
Dalam majlis sama, Harakah turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM 30 000 kepada GMI.
Sebelum ini, dalam rangka misi Harakah ke Sabah bagi menemui keluarga tahanan ISA, sebanyak RM15 000 berjaya disampaikan kepada sepuluh keluarga, termasuk anak-anak kecil tahanan ISA.
Tinjauan Harakah selama dua hari bermula 23 Sept hingga 24 Sept lalu turut menyaksikan kebanyakan anak-anak Sabah tidak berpeluang bersekolah kerana kesempitan hidup.
Atas kesedaran tentang kepentingan ilmu, Harakah sekali lagi berusaha untuk mengumpul dana bagi membantu anak-anak Sabah dapat meneruskan kehidupan mereka seperti kanak-kanak lain untuk mendapat hak pendidikan sewajarnya.
Bagi pembaca yang prihatin dengan nasib malang keluarga mangsa ISA dan anak-anak Sabah yang keciciran ini, sila hantar sumbangan anda kepada HARAKAHDAILY DOT COM, nombor akaun Maybank 564070000336
[Read More...]


Jangan biar program 'tangkap muat' di televisyen



Intan Abdullah
Mon Jun 02, 08 5:04:33 pm MYT

KUALA LUMPUR, 2 Jun (Hrkh) - Kerajaan tidak harus membiarkan pengusaha syarikat televisyen berbayar menyiarkan rancangan-rancangan yang difikirkan mereka sebagai 'tangkap muat' semata-mata untuk memenuhi selera penonton.

Saranan tersebut dikemukakan Senator Mumtaz Mohd Nawi (PAS-Kelantan) sebagai mengulas jawapan yang diberikan Timbalan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Teng Boon Soon ketika menjawab soalan yang dikemukakan Senator Tan Sri Jins Samsuddin sesi dalam soal jawab lisan pagi tadi di Dewan Negara.

"Apa yang sebenarnya perlu dilakukan oleh kerajaan dalam hal ini adalah mendidik selera penonton dan bukannya melayan kehendak mereka tanpa mempedulikan nilai dan budaya ketimuran yang kini semakin hilang," ujarnya kepada Harakahdaily semasa ditemui di luar dewan selepas gagal untuk menyuarakan pandangan tersebut sebelum ini.

Sambil melahirkan kekesalan, beliau mendesak agar kerajaan menjalankan pemantauan ke atas penayangan rancangan daripada luar dan dalam negara seperti daripada Amerika Latin yang meninggalkan banyak kesan negatif kepada penonton khususnya kanak-kanak dan remaja.

"Sebagai contoh kita lihat banyak rancangan yang disiarkan oleh Astro memaparkan aksi pelakon dan pakaian yang tidak sesuai ditonton di samping mesej yang disampaikan jauh daripada budaya dan adat ketimuran yang perlu ditamatkan di dalam televisyen negara kita," katanya.

Hal ini tambahnya, memandangkan rakyat Malaysia sebahagiannya gemar mengikuti dan melanggan syarikat televisyen berbayar seperti Astro berbanding stesen televisyen rasmi yang sedia ada, kerajaan perlu menjalankan pemantauan serta melakukan proses penapisan yang lebih ketat ke atas rancangan-rancangan yang akan disiarkan di kaca-kaca televisyen.

"Justeru, kesan yang amat membimbangkan kita adalah ianya akan mengubah pemikiran dan persepsi penonton khususnya generasi muda dengan kecelaruan budaya yang ditonjolkan dan dibawa masuk menerusi filem dan drama yang disiarkan.

"Satu panel khas perlu ditubuhkan secara rasmi di bawah pantauan kerajaan yang akan meneliti dan melaksanakan perkara ini secara serius, sistematik dan efektif," ujarnya lagi.

Walau bagaimanapun, Teng hanya menjawab bahawa beliau akan merujuk hal tersebut kepada Kementerian Tenaga , Air dan komunikasi untuk tindakan selanjutnya.
[Read More...]


Kickdefella dibebaskan!



Harakahdaily
Sat Sep 20, 08 6:09:07 pm MYT

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Hrkh) -Penulis blog Syed Azidi Syed Abdul Aziz (Kickdefella) dibebaskan hari ini selepas ditahan polis untuk siasatan selama dua hari oleh Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan (CCID).

Malaysiakini melaporkan, beliau dibebaskan pada jam 1 tengahari tadi. Semalam, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur membenarkan beliau direman sehingga 5 petang ini.

Sebaik sahaja dibebaskan, beliau memberi keterangan pula kepada pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Beliau disambut oleh anggota keluarganya serta rakan-rakan apabila keluar dari pejabat CCID pada kira-kira jam 4 petang.

Syed Azidi, 38, pegawai perhubungan awam Perbadanan Menteri Besar Kelantan, ditahan di rumahnya di Demit, Kota Bharu mengikut Akta Hasutan pada 17 September.

Beliau disiasat kerana didakwa menyiarkan bahan berunsur hasutan di blognya, Kickdefella, membabitkan kempen memasang Jalur Gemilang secara terbalik semasa menyambut ulang tahun kemerdekaan bulan lalu.
[Read More...]


Cawangan salah satu parti komponen BN bubar



IPF Cawangan Ulu Bernam bubar
Johari Jaafar

Mon Sep 15, 08 1:35:06 pm MYT
TELUK INTAN, 15 Sept (Hrkh) - Seramai lebih 50 orang ahli Parti Progresif India (IPF) Cawangan Ulu Bernam mengambil keputusan keluar parti seterusnya menyertai Kelab Penyokong PAS Teluk Intan.

Menurut jurucakap mereka, Suryanarayanan, keputusan mereka keluar parti diambil kerana mereka amat kecewa dengan pimpinan parti yang tidak pernah mengambil hirau terhadap mereka. Pemimpin IPF tidak pernah mengambil tahu masalah yang mereka hadapi.

Beliau percaya PAS merupakan satu parti yang dapat memperjuangan nasib semua lapisan masyarakat dan bangsa di negara ini, oleh itu beliau bersama pengikutnya mengambil keputusan menyertai Kelab Penyokong PAS.

Majlis perasmian Kelab Penyokong PAS Cawangan Ulu Bernam bertempat di perkarangan Masjid Ulu Bernam bersempena majlis berbuka puasa bersama Adun Changkat Jong Haji Mohd Anuar Sudin semalam.

Dalam ucapan perasmian tersebut, Haji Mohd Anuar telah menjelaskan dasar-dasar perjuangan PAS serta dasar-dasar Kerajaan Pakatan Rakyat di Negeri Perak yang mana masalah rakyat yang bukan Islam tidak akan dipinggirkan oleh pemerintah.

Beliau turut mengingatkan ahli-ahli Kelab Penyokong PAS agar dapat berhubung dengan ketua kampung serta pimpinan PAS tempatan sekiranya mereka mempunyai sabarang masalah.
[Read More...]


Ahli Perlimen ke luar negara? Guna wang siapa...?



Ni siapalah punya cadangan nak bawa ahli parlimen keluar negara. Guna wang sendiri ker...?
Tak mungkin.

Anda tolonglah kira berapa belanja yang diperlukan untuk ahli parlimen BN keluar negara. Alangkan baik sekiranya wang tersebut digunakan untuk kesejahteraan rakyat.

Menjelang 16 September: Ahli Parlimen BN-BBC ke luar negara?
Harakahdaily
Fri Sep 05, 08 7:46:43 am MYT
KUALA LUMPUR, 5 Sept (Hrkh) -Ketika ramai mula mempersoalkan sama ada sasaran 16 September Pakatan Rakyat akan menjadi kenyataan ataupun tinggal omong-omong kosong, perikatan pembangkang itu menegaskan, pelan mereka masih utuh dan akan menjadi kenyataan "dalam waktu ini."

Mstar Online melaporkan, pemimpin Pakatan Rakyat yang dihubungi dengan yakin berkata, segala proses dan urusan penting yang berkaitan berjalan dengan lancar dan hampir selesai sementara beberapa aspek teknikal dan perundangan sedang diperhalusi.

Di sebalik pendirian sedemikian wujud desas-desus ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan mula 'bercuti' di luar negara mulai Isnin ini sehingga minggu ketiga September - tempoh yang dianggap sebagai kritikal menjelang pembentukan kerajaan baru.

Ahli-ahli Parlimen terbabit khususnya anggota Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BN-BBC) telah diminta menyerahkan pasport mereka untuk urusan rasmi susulan.
Bagaimanapun Pengerusi dan Timbalan Pengerusi BN-BBC menafikan cuti itu - yang dikenali sebgaai lawatan sambil belajar ke luar negara - ada kaitan dengan sasaran Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan pada 16 September ini.

"Lawatan ini diadakan ekoran cadangan daripada beberapa anggota kami (BN-BBC). Kami mahu anggota kami diberikan pengetahuan terkini mengenai maklumat teknologi tinggi pengeluaran makanan dan pertanian... jadi kami boleh membahaskan Bajet (2009) dengan baik di Parlimen apabila bersidang kelak (selepas Aidilfitri)," kata Pengerusinya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Jelas beliau, tempoh dua minggu ini merupakan masa yang sesuai untuk berbuat demikian walaupun bulan Ramadan telah bermula.

"Selepas Aidilfitri, Parlimen akan mula bersidang," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Bintulu ketika dihubungi.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi BN-BBC, Dato' Bung Mokhtar Radin ketika dihubungi berkata, memang ada satu lawatan sambil belajar diaturkan untuk anggota kelab tersebut luar negara berkemungkinan hujung minggu ini..

"Memang ada lawatan ke luar negara bertujuan untuk meneroka teknologi pertanian dan perindustrian bagi mana-mana Ahli Parlimen dari BN-BBC yang berminat.
"Mungkin lawatan itu akan diadakan hujung minggu ini. Berapa ramai ahli Parlimen yang akan ikut belum diputuskan lagi," kata wakil rakyat Kinabatangan itu.

Ketika ditanya ke mana destinasi dan jangka masa lawatan tersebut, Bung Mokhtar berkata, perkara tersebut juga belum diputuskan.

"Belum diputuskan tapi selalunya kalau lawatan sambil belajar mungkin lamalah sikit," katanya.
Ahli Parlimen Pasir Salak, Dato' Tajuddin Abdul Rahman menafikan beliau ditawarkan untuk pergi bercuti pada 8 September ini.
"Mana ada saya tak dapat apa-apa tawaran pun untuk pergi bercuti," katanya apabila dihubungi.

Malah, beliau juga menafikan beliau ditawarkan untuk melompat parti.

"Mana ada perkara itu tidak benar.Saya tak pernah ditawarkan untuk melompat parti," katanya.

Ketika ditanya di mana beliau akan berada pada 8 September ini dan seterusnya, Tajuddin berkata: "Tidak ke mana-mana. Saya sibuk mesyuarat bahagian di Perak."
Ahli Parlimen Jerlun, Dato' Mukhriz Mahathir juga mengatakan bahawa beliau tidak mengetahui tentang lawatan tersebut.
"Saya tidak tahu, saya tidak diberitahu. Kalau ada pun saya tidak akan pergi kerana ada banyak urusan perlu diselesaikan di sini," kata Exco Pemuda Umno itu yang akan mengumumkan pendirian rasmi merebut kerusi Ketua Pemuda Sabtu (esok).

Dalam pada itu, anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Badrul Hisham Shaharin memberitahu, sehingga kini "semua perancangan berjalan dengan lancar."
"Hanya tinggal beberapa aspek seperti soal teknikal dan perundangan yang perlu diselesaikan.
"Pelan sasaran 16 September kekal sebagaimana telah diumumkan (oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim). Dalam waktu terdekat, sasaran ini akan dicapai," katanya.

Difahamkan tiga parti komponen Barisan Nasional (BN) - kesemuanya dari Sabah dan Sarawak - telah menyatakan persetujuan untuk menyertai sebagai komponen Pakatan Rakyat manakala hampir 30 wakil rakyat BN pula akan menganggotai parti-parti komponen secara individu dengan sebahagian besar dalam PKR.

Ketika diminta mengulas mengenai waktu terdekat yang dimaksudkan, beliau berkata, ia akan dicapai dalam beberapa hari lagi.

Beliau tidak menolak desas-desus bahawa ada Ahli Parlimen yang ingin mengumumkan hasrat mereka sertai Pakatan Rakyat esok.

Bagaimanapun pucuk kepimpinan mahu pengumuman dibuat serentak, kemungkinan minggu depan.

Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat dan Penasihat PKR telah berulang kali mengatakan bahawa kerajaan persekutuan baru akan dibentuk menjelang 16 September ini.

"Banyak pertemuan telah diadakan setakat ini... pertemuan-pertemuan ini juga dikendalikan oleh komponen Pakatan Rakyat yang lain, bukan PKR sahaja," katanya.

Difahamkan juga ahli-ahli Parlimen yang menyatakan keinginan itu termasuklah mereka yang berada dalam Kabinet.

Sebelum ini Pengerusi Perhubungan KeADILan Sarawak, Dominique Ng Kim Ho yakin peralihan kuasa kerajaan persekutuan 16 September ini akan menjadi kenyataan tetapi enggan mengulas spekulasi Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin antara mereka yang bakal sertai Pakatan Rakyat.

"KeADILan Sarawak sangat yakin sasaran 16 September (bentuk kerajaan) akan berjaya dilaksanakan seperti yang dirancang," katanya.

Beliau menyatakan demikian sehari selepas Anwar dilaporkan menemui beberapa Ahli Parlimen dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung di ibu negara.

Malah pada Khamis lalu, seramai enam wakil rakyat dari Sarawak sudah menemui Anwar iaitu pada petang selepa bekas Timbalan Perdana Menteri mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat.

Menurut beliau, sehingga hari ini hampir 30 orang Ahli Parlimen BN dari Sarawak dan Sabah telah menyatakan kesediaan mereka untuk menyertai Pakatan Rakyat.

"Keseluruhan dari kedua-dua negeri ialah hampir 30 orang. Dari Sarawak saja kita ada lebih 10 orang yang akan lompat menyertai kita membentuk kerajaan baru pada 16 September nanti," kata beliau. - mks._
[Read More...]


MB Perak memandu kereta jam 3.00 pagi.....



Azamin Amin
Tue Aug 05, 08 12:43:31 pm MYT
KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Hrkh) - Demi bonda mertua dan isteri tercinta, Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sanggup memandu kereta jam 3.00 pagi menuju ke Hospital Tapah setelah mendapat panggilan kecemasan mengenai tahap kesihatan bonda mertuanya yang agak kritikal.

Biarpun baru tiba ke kediaman rasmi beliau di Ipoh jam 12.30 tengah malam daripada Kuala Lumpur atas tugas dan urusan rasmi, tanpa sebarang keluhan tiga jam kemudian Nizar memandu kenderaan membawa keluarga menziarahi ibu mertuanya.

Perkara itu diluahkan sendiri isteri beliau Datin Seri Fatimah Taat dalam blognya; datinserifatimah.blogspot.com baru-baru ini tentang insiden yang berlaku pada 2 Ogos lalu.
Terkejut dengan panggilan kecemasan itu Fatimah dan Nizar bergegas pulang ke Tapah malah terpaksa meninggalkan anak-anak yang sedang nyenyak lena di rumah.

"Setengah jam suami memandu kami selamat tiba di wad perempuan Hospital Tapah. Saudara mara terdekat sudah memenuhi ruang wad pada ketika itu. Sayu melihat bonda yang menahan sakit dan seluruh tubuhnya bengkak. Ramai yang hadir membacakan Surah Yassin dan doa.

"Terima kasih yang teramat sangat kepada suami kerana dalam keadaan masa yang terlalu sibuk beliau masih sempat bersama saya. Dalam keadaan suami yang baru pulang dari K.L jam 12.30 malam terus ke Tapah jam 3.30 pagi manakala pulang semula ke Ipoh jam 3.00 petang Sabtu kerana ada program yang harus dihadiri jam 5.00 petang.

"Saya mengerti keadaan suami yang terlalu mengantuk dan penat tetapi demi tugas dan tanggungjawab kepada keluarga dan kepada rakyat beliau tidak langsung mengeluh," katanya yang terharu dengan pengorbanan suaminya itu.

Kesibukan dan kepadatan program Menteri Besar Perak itu turut diakui dan disaksikan sendiri oleh krew Harakah yang membuat liputan sehari bersama beliau pada 31 Julai lalu namun disebalik itu, Nizar masih sudi meluangkan masa dengan mana-mana individu yang bertemu dengannya. - mks. _
[Read More...]


Khalil Yaakob 'juara' bida nombor plat kereta negara



Zaili Muhammad
Wed Jul 30, 08 7:26:53 am MYT

MELAKA, 30 Julai (Hrkh) - Gejala pembaziran yang berlaku di kalangan pemimpin Umno seperti 'irama dan lagu' yang tidak boleh dipisahkan walaupun pelbagai pendedahan telah dibuat, namun ianya tidak memberikan kesan kepada mereka.

Terbaru, Yang Dipertua (YDP) Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob, yang juga merupakan bekas Menteri Besar Pahang, sekali lagi membida nombor pendaftaran kenderaan untuk dua buah kereta di Jabatan Pengangkutan Jalan Melaka, sebanyak RM55,558.

Bidaan tersebut dibuat atas nama Tun Mohd Khalil Yaakob dengan nombor kad pengenalan 371229-06-5295 bagi nombor pendaftaran MBQ 1 sebanyak RM47,300 dan ianya merupakan jumlah bidaan yang tertinggi untuk nombor siri MBQ.


Manakala, beliau juga turut membida satu lagi nombor pendaftaran iaitu MBQ 11 sebanyak RM8,258 dan ini menjadikan jumlah bidaan yang dibuat oleh Tun Khalil sebanyak RM55,558.


Pada akhir November lalu, penduduk Melaka telah digemparkan apabila beliau bertindak membida dua nombor pendaftaran bagi nombor siri MBN iaitu bagi MBN 1 sebanyak RM56,100 dan MBN 8 dengan harga RM22,000 dan ini menjadikan nilai bidaan yang telah dibuat oleh Tun Khalil pada masa itu berjumlah RM78,100.


Secara keseluruhannya jumlah bidaan yang dibuat oleh Tun Khalil bagi empat buah kereta adalah sebanyak RM133,658 seterusnya mengalahkan rekod yang dipegang oleh bekas Menteri Besar Perlis, Dato' Seri Shahidan Kassim yang menender nombor plat RG 1, RG 9, RG 12 dan RG 17 sehingga mencecah RM120,000.


Dalam pada rakyat dibebankan dengan kenaikkan harga minyak yang melampau sehinggakan ada yang makan pagi kais pagi, makan petang kais petang namun pada ketika yang sama pemimpin Umno-BN berlawan sesama sendiri mempamerkan kekayaan mereka secara terang kepada rakyat dan melakukan pembaziran wang rakyat tanpa rasa bersalah.
Penduduk Melaka juga mempersoalkan bagaimana kerajaan negeri tergamak memberi pampasan yang sedikit, di mana cuma sebanyak RM1,600 kepada nelayan yang hilang punca pendapatan akibat daripada projek penambakan laut di sepanjang pantai Melaka tetapi pemimpin negeri boleh pula membazirkan ratusan ribu untuk membeli plat kereta!


Jadi amat wajarlah saranan Ketua Pemuda PAS Melaka, Ustaz Kamarudin Sidek, supaya bacaan doa yang khas dibacakan kepada YDP Melaka selepas 'Khutbah Jumaat' dihentikan kerana ianya menimbulkan suasana tidak tenteram dan kurang senang di kalangan jemaah solat yang tidak mahu bersubahat mendoakan kesejahteraan hidup seorang pemimpin yang membazir.


Apatah lagi, dua individu iaitu bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Pahang, Razali Alias dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Berserah, Pahang, Dato' Fauzi Abdul Rahman, yang masing-masing telah membuat laporan kepada pihak berkuasa terhadap penyalahgunaan kuasa oleh bekas Menteri Besar Pahang itu dalam isu balak.


Satu lagi laporan polis terhadap Khalil juga pernah dibuat oleh Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) Pahang pada bulan September lalu tetapi kes tersebut telah diistiharkan ditutup oleh Pengarah Siasatan BPR, Dato' Mohd Shukri Abdul, baru-baru ini. - mks. _
[Read More...]


Harga minyak dunia turun, kerajaan didesak tunaikan janji - Dr Hatta





Intan Abdullah

Tue Jul 29, 08 5:04:53 pm MYT

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Hrkh) - PAS mendesak kerajaan Barisan Nasional (BN) menurunkan harga minyak di negara ini selari dengan penurunan harga minyak dunia.

Dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily pagi tadi, Bendahari PAS, Dr Mohd Hatta Ramli meminta kerajaan agar bersikap lebih serius malah mengotakan janji mereka yang sebelum ini akan menurunkan harga minyak selari dengan perubahan harga minyak di peringkat antarabangsa.


"Kerajaan perlu mengotakan janji mereka, kerana sebelum ini Dato' Shahrir Samad sendiri pernah berjanji akan menurunkan harga minyak berdasarkan harga minyak dunia," ujarnya.
Mengulas perkembangan semasa,Dr Hatta berkata harga minyak di Singapura telah pun diturunkan beberapa kali dalam tahun ini namun, Malaysia yang berstatus negara pengeluar minyak atau negara Opec masih tidak mampu melaksanakannya.
Beliau menempelak kerajaan Malaysia yang masih tidak menunjukkan tanda-tanda bahawa mereka serius membela masalah dan kebajikan rakyat.


"Ia merupakan suatu tamparan hebat kepada Malaysia kerana Singapura merupakan negara pengimport pun berusaha untuk menangani masalah rakyat mereka sedangkan kita sebagai negara pengeluar minyak tidak mempunyai apa-apa inisiatif bagi menjaga kepentingan rakyat," katanya.


Menurutnya, apa yang terjadi mencerminkan sikap kerajaan yang tidak prihatin malah langsung tidak mempedulikan nasib dan penderitaan rakyat.
"Kita lihat tiada inisiatif diambil pihak kerajaan dalam meringankan beban harga minyak dan inflasi tinggi yang ditanggung rakyat, tetapi masih berada di peringkat akan mengkaji harga minyak pasaran," katanya lagi.


Pada masa yang sama, beliau berkeyakinan bahawa harga minyak negara ini berpotensi untuk kembali kepada harga asalnya selari dengan penurunan harga minyak dunia yang semakin giat berlaku.


"Adalah tidak mustahil jika harga minyak kita boleh kembali seperti asalnya, sebab itu saranan Dato' Seri Anwar bahawa Pakatan Rakyat boleh menurunkan harga minyak sebaik memerintah.
"Jika singapura boleh melakukannya, kita sepatutnya lebih mampu menurunkannya," tegasnya.
Menurut laporan beberapa media di negara jiran tersebut, harga minyak petrol turun lagi semalam, sebanyak 10 sen setiap liter yakni penurunan terbesar sejak Ogos 2003 dan ia merupakan kali kelima harga minyak petrol turun dalam tempoh 20 hari.
Semalam, langkah tersebut dimulakan oleh Shell, yang kemudian diikuti Caltex, Singapore Petroleum Company (SPC) dan Mobil.


Dengan penurunan harga itu, harga minyak petrol sebelum ditolak diskaun di kedai minyak sekarang adalah $2.110 seliter bagi petrol oktana 98, $2.036 seliter bagi petrol oktana 95 dan $2.003 seliter bagi petrol oktana 92.


Harga minyak petrol premium sebelum ditolak diskaun pula adalah $2.239 seliter bagi Shell V-Power dan $2.236 seliter bagi Caltex Platinum.


Menurut para penganalisis, harga minyak petrol turun kebelakangan ini kerana kebimbangan tentang permintaan minyak semakin reda.


Harga minyak mentah mencecah paras AS$100 setong pada awal tahun ini, sebelum meningkat ke beberapa paras rekod akibat kebimbangan mengenai permintaan minyak yang terus bertambah ekoran ketegangan antara Barat dengan Iran mengenai program nuklear Teheran.


Ketidakstabilan di Nigeria, salah sebuah negara pengeluar minyak Afrika utama, turut menjadi faktor, kata para pemerhati.


Berdasarkan laporan yang dikeluarkan Dowjones Newswires, harga minyak boleh jatuh ke paras AS$70 dan AS$80 setong jika dolar Amerika terus kukuh dan kebimbangan mengenai Iran berkurangan, kata ketua Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (Opec), Chakib Khelil, Sabtu lalu. - mks. _
[Read More...]


Pemuda lapor polis terhadap kenyataan Tajol Rosli pancing Adun PAS




Salmah Mat Husain: Foto Rizal Tahir

Tue Jul 29, 08 6:52:19 pm MYT

KOTA BHARU, 29 Julai (Hrkh) - 'Umno Perak ajak PAS bentuk kerajaan dan wakil PAS terus menjadi Menteri Besar'. Tidakkah ia menggambarkan satu bentuk rasuah yang menyalahi Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Tanpa disedari Umno Perak juga meminta Adun PAS melompat parti bagi meninggalkan Pakatan Rakyat yang semakin mantap sekarang.
Sedangkan sebelum ini pemimpin kanan Umno begitu marah apabila ada cadangan anggota parlimen Barisan Nasional (BN) yang dikatakan akan menyertai Pakatan Rakyat.

Mengambil kira aspek tersebut Dewan Pemuda PAS Kubang Kerian hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Dato' Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali yang disifatkan sebagai berunsur rasuah.

Laporan Polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu kira-kira jam 3 petang tadi.
Ketuanya, Mohamad Nuri Yaacob, 37 berkata, tawaran bekas Menteri Besar Perak itu boleh disifatkan sebagai satu bentuk rasuah mengikut Akta Pencegahan Rasuah 1997.

"Dalam laporan akhbar hari ini Tajol dengan jelas menyebut Umno Perak mengajak PAS bergabung bagi membentuk kerajaan negeri yang lebih kukuh di mana wakil PAS kekal menjadi Menteri Besar.

"Dia juga berkata Umno Perak sedia membenarkan wakil PAS terus menjadi Menteri Besar manakala jawatan Exco diagihkan mengikut kesesuaian antara parti gabungan.

"Berdasarkan kepada kenyataan itu jelas menunjukkan terdapatnya unsur 'tawaran jawatan' yang boleh disifatkan sebagai satu rasuah yang menyalahi Akta Pencegahan Rasuah 1997," katanya kepada pemberita.

Sehubungan itu beliau meminta pihak polis menyiasat terhadap pihak yang mengeluarkan kenyataan tersebut dan akhbar yang menyiarkan laporan berkenaan.

Mohamad Nuri juga menyifatkan kenyataan itu seumpama orang yang sudah tersepit dan mengharapkan pertolongan orang lain.

Katanya, tindakan itu juga turut membuktikan Umno Perak masih berhasrat untuk berkuasa walaupun sudah ditolak rakyat.

Hadir sama memberi sokongan kepada laporan polis itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Kota Bharu, Ustaz Baharuddin Mohd Nor dan anggota jawatankuasanya. - mj/mks. _
[Read More...]


Doktor: Tiada kesan Saiful diliwat



Harakahdaily
Mon Jul 28, 08 7:19:05 pm MYT

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Hrkh) - Tiada bukti Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mengadu diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, pernah mengalami hubungan seks luar tabie seperti itu - demikian hasil pemeriksaan seorang doktor di sebuah hospital swasta, kira-kira empat jam sebelum membuat laporan polis sebulan lalu.

Menurut Malaysiakini, salinan laporan perubatan terhadap bekas pembantu Anwar itu, Mohd Saiful ke Hospital Pusrawi mengadu mengalami "tenesmus" - kesukaran dan kesakitan membuang air besar.

Dipercayai pemuda 23 tahun itu mendapatkan rawatan di hospital di Jalan Tun Razak itu kira-kira jam 2 petang pada 28 Jun sebelum diminta ke sebuah hospital kerajaan dan kemudian membuat laporan polis.



Ketika di Hospital Pusrawi, pemuda itu diperiksa oleh Dr Mohamed Osman Abdul Hamid.
Dalam laporannya itu, doktor tersebut menyatakan pesakit itu mendakwa diserang dengan dijolok bahan "plastik" di bahagian duburnya.



Mohamed Osman, seperti tercatat dalam laporannya yang direkodkan pada jam 2.14 petang, mendapati dubur Mohd Saiful "tidak mengalami pendarahan aktif", "tiada kesan ulser atau nanah", dan "tiada kesan koyak atau calar".



Beliau juga menyatakan pemuda itu kelihatan "jaga", "selesa", "tidak pucat" dan tidak menunjukkan sebarang tanda demam. - mks._
[Read More...]


Unit Amal Maran bantu mangsa ribut



Basiron Abdul Wahab
Fri Jul 25, 08 12:22:31 pm MYT

MARAN, 25 Julai (Hrkh) - Empat mangsa ribut di kampung Awah dekat sini menerima bantuan daripada Pasukan Unit Amal PAS Kawasan Maran yang bergotong royong membersihkan kawasan rumah.

Dalam kejadian ribut petang kelmarin empat buah rumah penduduk di kampung itu hampir musnah dihempap pokok. Bagaimanapun tiada kemalangan dilaporakan selain daripada kerosakan harta benda.

Empat mangsa ribut itu ialah, Nasyaruddin Mohamad 32, Zabinah Sulaiman 66, dan Abdul Rahman Ismail 73.

Anggota Amal dengan kekuatan 20 anggota turut disertai Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Maran, Ustaz Ramli Abdul Rahman.

Mangsa mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada pasukan Amal di atas keprihatinan mereka membantu masyarakat yang ditimpa musibah.

Semasa banjir tahun lalu, pasukan Amal Maran adalah di antara pasukan yang aktif membantu mangsa banjir mendahului pasukan sukarelawan lain.

Ramli berkata, pasukan Amal mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama dalam menjayakan kerja-kerja kebajikan seperti ini.

"Pasukan Amal tidak mengambil kira anutan politik dalam menghulurkan bantuan, kita tidak seperti pihak tertentu yang bertanya anutan politik dahulu sebelum memberi bantuan," katanya. - mns _
[Read More...]


Pergerakan Anwar dirakam, forensik ambil kesan selepas keluar lokap



Wan Nordin Wan Yaacob
Sat Jul 26, 08 9:20:26 am MYT

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Hrkh) - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Sivarasa Rasiah mendakwa, satu pasukan forensik memasuki lokap dan mengambil kesan-kesan termasuk rambut, bulu-bulu dan sel kulit selepas Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dibebaskan dari lokap 17 Julai lalu.

Sivarasa yang juga peguam Anwar berkata, selepas Anwar dibebaskan kumpulan forensik masuk ke dalam bilik lokap tempat Anwar ditahan dan mengambil semua kesan yang dinyatakan.

"Kenapa ini dilakukan dalam kes Anwar? Kenapa hantar kumpulan forensik? Apakah releven siasatan dengan cara begini," kata Sivarasa selepas dipanggil soal siasat di Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman semalam.


Sivarasa hadir ke JSJ Bukit Aman bagi memberi keterangan kepada polis berhubung siasatan akuan berkanun pertama penyiasat persendirian P Balasubramaniam yang mengaitkan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak dengan Altantuya Shaariibuu.

Menurut Sivarasa, tindakan forensik itu sangat meragukan dan menimbulkan banyak persoalan selepas Anwar menegtahui tindakan itu sehari selepas dibebaskan.

Beliau juga tidak menafikan sebarang kemungkinan polis mengambil DNA Anwar melalui kesan-kesan yang diambil, namun beliau menegaskan bahawa secara saintifiknya sampel itu tidak boleh digunakan.

Sivarasa juga mendakwa, polis turut merakam seluruh pergerakan Anwar, menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) dan perakam video sepanjang beliau berada di Kuala Lumpur, tambah Sivarasa.

Rakaman kamera video itu dibuat oleh anggota polis yang berpakaian biasa, kata Sivarasa.
"Memang kita akan bangkitkan, dalam kes-kes lain tidak ada, tetapi dalam kes Anwar ada. Ini jadi satu persoalan. Ini menunjukkan motif pihak penyiasat. Pihak polis dalam kes ini tidak ikhlas. Ada niat politik tidak ikhlas.," katanya

Begitupun ujar Sivarasa, rakaman tidak dibuat semasa Anwar bersama doktor untuk pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur. /wann _
[Read More...]


Zalim terhadap keluarga Shahrial - GMI tuntut penjelasan Syed Hamid




Nyza Ayob
Fri Jul 25, 08 4:28:33 pm MYT

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Hrkh) - Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mendesak Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar memberi penjelasan kelewatan membawa keluar tahanan ISA, Shahrial Sinin yang tidak sempat menemui anaknya Aina Mardiah, 17, yang sakit tenat sebelum (Aina Mardiah) meninggal pada 3 Julai lalu.

Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh berkata demikian sebagai respons kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh di Dewan Negara semalam, bahawa kerajaan akan mempertimbangkan cara terbaik untuk mempercepatkan proses menandatangani borang keluar bagi tahanan ISA yang ingin menziarah keluarga terdekat yang sakit atau meninggal dunia.

Wan Ahmad Farid juga menyatakan, mengikut prosedur ISA, tahanan yang ingin keluar melawat keluarga yang sakit memerlukan tandatangan menteri terlebih dulu.

Isu mengenai kelewatan membawa keluar Shahrial melawat anaknya itu dibangkitkan Senator Zamri Yusuf yang menyatakan Shahrial yang ditahan di Kem Tahanan Perlindungan Kamunting tidak dibenarkan keluar daripada pusat tahanan itu untuk menemui anaknya walaupun keluarganya membawa dokumen sokongan daripada Hospital Kajang yang mengesahkan anaknya sakit tenat.

Pihak kem tahanan memaklumkan Shahrial dibenar keluar hanya selepas menteri menandatangani borang tertentu.

Sementara itu, Syed Ibrahim juga melahirkan kekesalan dengan jawapan yang diberikan Timbalan Menteri berkenaan.

"Kita sudah dapat mengagak jawapan yang akan diberikan. Respons yang diberikan adalah jawapan lazim apabila isu kelewatan membawa keluar tahanan ditimbulkan. Kami mengambil sikap positif apabila beliau menyatakan akan menimbang perkara tersebut

"Bagaimanapun kami membuat keputusan menghantar surat kepada Menteri Dalam Negeri meminta penjelasan daripadanya apakah prosuder bagi membenarkan tahanan keluar untuk melawat keluarga yang dalam kecemasan. Kami tidak pasti dimana kelewatan proses menandatangani borang tersebut sama ada pihak kem tahanan, polis atau menteri sendiri,"katanya sewaktu dihubungi Harakahdaily hari ini.

Jelas Syed Ibrahim dalam surat yang dihantar kepada menteri terbabit semalam, beliau turut menyebut kronologi yang berlaku, iaitu makluman mengenai Aina Mardhiah telah diberi 48 jam sebelum beliau meninggal dunia.

"Takkkan mesti menteri kena tanda tangan borang tersebut? Bagaimana jika menteri tersebut berada di luar Kuala Lumpur, menghadiri program atau ke luar negara?
"Oleh kerana kes ini telah berlaku, saya menuntut Syed Hamid membuat penjelasan kepada isteri dan ahli keluarga Shahrial Kami bimbang kes yang sama akan berlaku lagi pada masa akan datang,"katanya.

Sementara itu, Pengarah Kempen Bebaskan Tahanan Enam Tahun ISA, Nor Laila Othman menyatakan pihak kem tahanan telah dimaklumkan tentang keadaan kritikal anak Shahrial sejak jam 3 petang pada Rabu 2, Julai.

Katanya walaupun selepas itu ada kiriman faks dari laporan doktor, berita itu langsung tidak disampaikan oleh pengurusan Kemta pada Shahrial.

"Shahrial hanya mengetahui keadaan kritikal anaknya apabila isterinya, PuanFatma memaksa pihak kem tahanan membenarkan beliau bercakap sendiri dengan Shahrial pda hari Khamis 3 Julai jam 10 pagi.

"Walaupun berita itu disampakan,namun, Shahrial masih tidak dapat dibawa keluar dari Kemta lebih awal kerana ada peraturan baru iaitu, pergerakan keluar dari kem tahanan bagi tahanan ISA mesti mendapat surat kebenaran yang ditandatangani dari Menteri Dalam Negeri,"katanya.
Jelas Nor Laila, kesukaran mendapatkan tandatangan Menteri Dalam Negeri diakui oleh tiga orang polis cawangan Khas (SB) yang mana salah seorang darinya bernama Ayub, yang mengesahkan bahawa ketika itu jam 11pagi Khamis 3 Julai, sebaik saja doktor di wad 4 Hospital Kajang itu memberitahu beliau bahawa keadaan Aina Mardhiah sangat kritikal, pelbagai usaha telah dilakukan oleh pegawai polis tersebut.

Tambahnya, SB bernama Ayub itu berjanji bahawa Shahrial dikatakan akan dibawa ke Kuala Lumpur pada jam 1 tengahari dan dijangka sampai di Hospital Kajang pada jam 5 petang.
Bagaimanapun katanya,Aina Mardhiah telah meninggal dunia pada jam 6.15 petang. Shahrial hanya tiba di rumah jiran mereka, dimana jenazah ditempatkan, pada jam 9.45 malam. Katanya, Shahrial memberitahu, beliau hanya dibawa keluar dari kemta pada jam 5 petang hari yang sama.
Jelasnya, peraturan baru ( yang memerlukan tandatangan Menteri Dalam Negeri menambah lagi penderaan mental terhadap tahanan ISA dan keluarga .
Dalam pada itu, Norlaila menyangkal kenyataaan Wan Farid bahawa sejumlah 11 daripada 17 permohonan tahanan ISA untuk bantuan kewangan keluarga masing-masing sudah diluluskan dan menerima bantuan kewangan daripada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah serta Baitulmal.

Melalui tinjauan rambang yang diadakan terhadap beberapa orang isteri tahanan ISA, terutamanya mereka yang telah menjadi mangsa lebih dari 6 tahun,semuanya mengesahkan mereka tidak pernah menerima sebarang bantuan dari Baitulmal.

Berikut adalah sebahagian dari mereka yang di hubungi Nor Laila:

1) Halimah Ishak, isteri kepada tahanan ISA Mohd Khaidir Hadran, yang ditahan sejak tahun 2003. Beliau mempunyai 8 orang anak berumur antara 6 hingga 19 tahun.Pendapatan hariannya adalah dari air soya yang dibuat sendiri dan dijual di pasar tani di Negeri Sembilan. Beliau tidak pernah mendapat sebarang bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat mahupun Baitul Mal.

2) Zulaiha Samsuri,isteri tahanan ISA Abd Murad Sudin, yang ditahan sejak tahun 2003. Beliau tinggal di Perak.Beliau mempunyai 4 orang anak berusia 6 hingga 13 tahun.Beliau tiada pekerjaan tetap, dan mendapat bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat berjumlah RM300 sebulan.Tetapi beliau tidak pernah mendapat sebarang bantuan dari Baitul Mal.

3) Zakiah Mat, isteri tahanan ISA Dr Abdullah Daud, yang ditahan sejak Januari 2002. Beliau mempunyai 12 orang anak berusia antara 10 - 23 tahun.Bekerja sebagai "baby-sitter" dan membuat kueh mueh dijual pada jiran-jirannya.Beliau tidak pernah mendapat bantuan dari mana-mana institusi Baitul Mal atau Jabatan Kebajikan Masyarakat.Beliau tinggal di Johor Bharu.

4) Hampir semua isteri Tahanan ISA "JI" yang telah ditahan di Kem Kamunting melebihi 6 tahun, tidak pernah menerima sebarang bantuan dari Baitul Mal mahupun Jabatan Kebajikan Masyarakat. Mereka ialah Siti Norma Ismail isteri kepada Abdullah Minyak Silam, Jurainah Basari isteri kepada Suhaimi Mokhtar, Fatma Masrum, isteri pada Shahrial Sirin, Fatimah Bt Shamsudin anak kepada tahanan ISA Shamsudin Sulaiman, Sajaratul Dursina isteri kepada Yazid Suffat dan Norlaila Othman isteri kepada Mat Sah Bin Mohd Satray. - mr_
[Read More...]


For Palestine

Boikot Israel & Amerika

Jawatan Kosong
Iklan

WebTV

WebTV (Auto Channel)

Jika anda tidak dapat menonton siaran ini, sila muat turun & install plug-in P2P TV di sini

P2P TV hanya boleh dilayari dengan menggunakan Internet Explorer dengan syarat port 3502, 5000 - 6000 dibuka di firewall.

Categories

Mari membaca al-Quran
























Return to top of page Copyright © 2011 | Platinum Theme Converted into Blogger Template by Hack Tutors