"Sebentar tadi Selasa 23 September 2008 saya telah berkesempatan menghadiri majlis berbuka puasa bersama “ahli-ahli syurga” di Pusat Jagaan Anak-Anak Istimewa Harapan ( Pusat Khidmat Down Syndrome DUN Paroi) di Taman Tuanku Jaafar , Sg Gadut , Senawang.
Terdapat 10 orang anak-anak istimewa di sini yang di bawah penjagaan sepasang suami isteri secara sukarela iaitu Encik Azizan dan Puan Siti. Mereka telah memulakan pusat ini lebih 5 tahun yang lalu. Penghuni pertama ialah adik Mohd Raziz Shah yang kini berusia 7 tahun. Adik Raziz hanya mampu baring sepanjang masa. Segala makan, minum, pakaian dan keperluan ke bilik air diuruskan oleh pasangan suami isteri tadi.
Bukan mudah untuk memelihara 10 orang anak-anak istimewa ini , tambahan pula mereka ini bukanlah anak-anak Encik Azizan dan Puan Siti. Mereka dengan rela hati memelihara dan membesarkan semua anak-anak istimewa yang ditempatkan di sini, hasil usaha mereka sendiri dengan bantuan dari masyarakat dan pimpinan setempat.
Tersentuh ucapan yang dibuat oleh YB Tn Hj Taufek , ADUN Paroi memberitahu para hadirin bahawa betapa bertuahnya dapat menghadiri majlis bersama ahli-ahli syurga, kerana anak-anak istimewa ini tidak pernah membuat dosa dari sejak mereka dilahirkan, dan mereka akan ditempatkan di syurga nanti , insyaALLAH.
Antara yang turut hadir serta memberi sumbangan kepada pusat ini dalam majlis tersebut ialah YB Dato Kamarul Baharin Abbas , Ahli Parlimen Telok Kemang , YB Tn Hj Mohamad Taufek , ADUN Paroi dan Sdr Badrul Hisham Shaharin Ketua Bahagian PKR Rembau.
Memang terasa kelainan berbuka puasa bersama anak-anak istimewa ini di tempat mereka dibesarkan. Tidak seperti membawa mereka ini berbuka puasa di tempat yang eksklusif.
Mereka yang ingin mengadakan majlis berbuka puasa, majlis sambutan Idil Fitri atau majlis kenduri di rumah anak-anak istimewa ini atau sekadar menziarahi bolehlah menghubungi Encik Azizan di talian 06-6791442 beralamat di No 43, Jalan TTJS ¾ , Taman Tuanku Jaafar, Sg. Gadut, Senawang.
Gambar bersama anak-anak istimewa dan adik Raziz di http://waghih.blogspot.com/2008/09/pengalaman-berbuka-bersama-ahli-syurga.html Labels: Artikel TKO
Responses
0 Respones to "Pengalaman berbuka bersama ahli syurga"
Catat Ulasan