Pendekatan Dr Mariah pikat bukan Islam



Nyza Ayob
Tue Sep 02, 08 10:38:03 pm MYT

AHLI Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud adalah satu-satunya ahli Parlimen PAS yang mendapat sokongan tinggi bukan Melayu pada pilihan raya umum ke-12 lalu. Ketika kunjungannya ke pejabat Harakah pada 28 Ogos lalu, wartawan NYZA AYOB mencatat pengalaman beliau berdepan masyarakat bukan Melayu serta pandangannya mengenai orang bukan Islam sebagai ahli Kelab Penyokong PAS.
HARAKAH: Apakah cadangan Dr untuk menarik lebih ramai bukan Islam bersama dengan PAS?
DR MARIAH: Orang bukan Islam mengharapkan kita mengutarakan masalah mereka. Kalau kita boleh memahami masalah mereka, mereka akan sokong kita. Begitu juga jika kita telus dengan mereka. Pengharapan mereka terhadap kita juga tinggi, bukan sahaja kepada wakil rakyat tetapi juga terhadap PAS. Mereka juga suka menyertai setiap aktiviti kita. Terdapat aktiviti yang dianjurkan Kelab Penyokong PAS bersama PAS Kawasan dan PAS Cawangan.
Bagaimana Dr berdepan dengan masalah di kawasan Parlimen Dr yang mana kebanyakan anggota masyarakatnya adalah bukan Islam?
Perkara yang sering dihadapi masyarakat beragama Hindu di Kota Raja adalah berkaitan rumah ibadat mereka. Jika rumah ibadat itu berada di atas tanah kerajaan atau kerajaan negeri, terdapat exco yang bertanggung jawab dalam menangani masalah tersebut. Tetapi jika masalah melibatkan tanah persendirian, ia agak rumit.
Masalah juga timbul apabila orang Islam tidak mahu kuil didirikan di kawasan rumah mereka. Ia amat sensitif terhadap orang Islam. Selain itu, oleh kerana tidak banyak terdapat kuil besar, mereka membina kuil kecil. Saya mengharapkan ada satu jabatan yang menyelaras bagi mereka yang bukan beragama Islam. Kita perlu adil terhadap mereka.
Jika kita mengatakan tidak boleh, apa pilihan mereka? Ia bukan satu perkara yang boleh diselaras oleh seorang YB tetapi ia melibatkan masalah polisi dan dasar. Sebagai orang Islam kita boleh memperkenalkan Islam kepada mereka. Tetapi akhirnya mereka mempunyai hak sendiri.
Bagi saya, apabila terdapat peluang dan ruang, saya menceritakan mengenai Islam kepada mereka. Saya juga cuba menyediakan al-Quran terjemahan dan akan diberikan kepada sesiapa yang memerlukannya. Tanggungjawab dakwah adalah menyampaikan. Sama ada mereka terima atau tidak, kita tidak boleh nak cakap apa. Itulah tanggungjawab yang terpaksa saya pikul.
Saya harap juga tanggungjawab tersebut tidak saya pikul seorang diri. Sebagai seorang wakil rakyat wanita, saya tidak dapat bergaul begitu rapat dengan mereka khususnya dengan bukan Islam lelaki.
Dr pernah melakukan perbincangan dengan masyarakat India di kuil-kuil. Bagaimana Dr menyesuaikan keadaan ini?
Saya tidak mempunyai masalah jika mereka meminta saya berjumpa untuk mendengar masalah di kuil-kuil. Sungguh pun saya telah mengetahui, saya bertanyakan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz sama ada boleh atau tidak saya masuk ke kawasan kuil. Beliau menyatakan tidak menjadi masalah. Contohnya Sayidina Umar dulu pernah ke gereja.
Saya selalu minta kepada mereka, jika ingin melakukan perjumpaan, biarlah upacara agama itu selesai. Barulah saya berjumpa mereka di luar kuil supaya tidak menimbulkan fitnah. Sebab tidak semua orang Melayu memahami.
Mereka rakyat kita dan sebagai wakil rakyat saya tidak boleh mengatakan tidak boleh jumpa mereka. Bagi saya ia juga sebahagian dari tanggungjawab jika mereka memilih kuil untuk tempat perjumpaan. Nak cari tempat untuk berbincang bukannya senang.
Kita kenalah dengar masalah mereka. Walaupun kadang-kadang kita tidak dapat memberikan jawapan dan penyelesaian, mendengar adalah sebahagian daripada memahami masalah yang mungkin ahli Parlimen lain tidak hadapi seperti kawasan saya, dan juga kawasan Shah Alam serta Kuala Selangor yang mempunyai peratusan penduduk kaum India yang agak tinggi.
Pandangan peribadi Dr mengenai keahlian bukan Islam dalam PAS?
Setelah bergaul dengan bukan Islam, bagi saya, sebelum membenarkan mereka menjadi ahli kita, pertama mereka mesti faham perjuangan PAS. Supaya tidak timbul konflik setelah mereka menjadi ahli. Sebab jika mereka menjadi ahli, biar jadi ahli betul. Kita tidak mahu jadi ahli bersekutu, yang mana timbul 'double standard' atau mereka hanya ahli kelas dua.
Memadai setakat ini mereka menjadi ahli Kelab Penyokong PAS. Dan bagi memperkasa kelab tersebut, kita boleh jemput ketua mereka di peringkat kawasan atau negeri untuk menghadiri mesyuarat tertentu. Bagi saya, kita mesti jelaskan kepada mereka kenapa penelitian ini perlu dibuat kerana perjuangan kita berasaskan Islam yang turut melindungi hak mereka.
Tetapi kita bimbang ada perkara yang mereka tidak boleh terima jika sebagai ahli. Rasionalnya, kita sebagai ahli PAS juga berbeza pendekatan. Kadang-kadang, berbeza pendekatan dan strategi itu menyebabkan kita berbalah. Inikan pula mereka yang tidak memahami perjuangan kita.
Jika mereka hendak bersama kita tanpa memahami perjuangan kita, lebih kusut bagi kita nak mengendalikan. Bagi kawasan saya, ada kalangan mereka yang inginkan satu 'dewan' atau satu entititi dengan satu struktur organisasi untuk mereka. Mereka ingin menyumbang dan mengambil bahagian apabila kita mengadakan aktiviti.
Mereka inginkan entiti seperti ini yang juga bertanggungjawab atas komuniti mereka dengan bantuan kita. Sebab jika mereka jadi ahli, ini bermakna dalam Perlembagaan PAS mereka juga layak dilantik dan tiada halangan untuk dilantik sebagai Presiden. Secara 'teoritikal' dan 'hipotikal' maka itu adalah sesuatu yang 'possible'.
Kita juga perlu melihat sejauh mana ahli PAS itu sendiri bersedia menerima mereka. Saya rasa lebih harmoni dan lebih bijaksana jika kita memperkukuh Kelab Penyokong PAS dan memperkasa mereka.
Melalui kelab ini, mereka boleh berbincang sesama mereka sama ada hendak menubuhkan 'dewan' atau sebagainya. Mereka lebih mengetahui kehendak komuniti mereka.
Kelab Penyokong India lebih memahami komuniti kaum Indi dan Kelab Penyokong Cina lebih mengetahui komuniti kaum Cina. Tetapi apabila di Pusat, kita hanya ada satu kelab penyokong. Kita mesti ada 'fleksibiliti' dalam struktur kita.
Walaupun mereka ahli Kelab Penyokong PAS, kita perlu melayan mereka seperti ahli kita dari semua segi. Dan di tempat saya, jika mereka ingin mengadakan aktiviti dan meminta sumbangan, saya akan bagi.
Mungkinkah pada muktamar akan datang, akan ada perwakilan di kalangan kaum bukan Islam ini?
Ya, mungkin dalam muktamar akan datang, perlu ada perwakilan di kalangan Kelab Penyokong PAS. Macam dalam muktamar baru-baru ini, Hu Pang Chaw mewakili Kelab Penyokong PAS. Jadi, mungkin dalam muktamar akan datang, kita boleh adakan perwakilan yang boleh duduk bersama perwakilan kawasan. Jadi perkara ini perlu dibincangkan dan diperhalusi.
Kita belum pernah ada satu seminar atau forum terbuka dengan mereka untuk mendengar harapan serta hasrat mereka. Sekarang ini hanya di peringkat kawasan. Secara umum kita telah tahu, tetapi kita belum lagi ada satu konvensyen.
Dan saya berharap satu hari nanti, PAS Pusat akan mengadakan satu konvensyen yang mana mereka akan menghantar perwakilan dari kawasan mereka sebagaimana ahli PAS mengadakan muktamar setiap tahun.
Mungkin sebagai Ahli Parlimen Dr tidak mempunyai masalah untuk berunding dengan bukan Islam. Tetapi bagaimana pula dengan penerimaan PAS di peringkat kawasan?
Saya melihat di peringkat kawasan, di kalangan Muslimin tidak kekok dan mempunyai aktiviti bersama. Tetapi di peringkat Muslimat, mungkin belum melaksanakan aktiviti bersama Kelab Penyokong PAS wanita. Ahli Kelab Penyokong PAS sangat aktif.
Jika kita perlu banyak berinteraksi dengan mereka. Ahli PAS di kawasan Kota Raja, saya lihat tidak mempunyai masalah untuk menerima mereka. Cuma mungkin pendekatan mereka terhadap bukan Melayu dan bukan Islam tidak meluas, jadi mereka kelihatan kekok sedikit.
Saya apabila bersalaman dengan wanita India saya lakukan seperti Muslimat juga. Saya peluk dan cium mereka. Sebab bagi saya, apa yang dilakukan itu penting untuk menunjukkan kemesraan dan tidak ada halangan untuk kita bermesraan dengan mereka. Muslimat perlu pendedahan seperti itu.
Apabila melakukan aktiviti bersama kita akan lebih kenal mengenali. Cuma saya melihat bentuk kerjasama itu belum cukup konkrit.
Apakah pandangan Dr apabila kalangan Jawatankuasa PAS kawasan sendiri kelihatan kekok untuk berdampingan dengan ahli-ahli Kelab Penyokong PAS dan hanya menyerahkan isu berkaitan kepada Lajnah Perpaduan Nasional sahaja?
Kita perlu ada sikap keterbukaan. Saya menganggap mereka seperti orang kita juga. Mereka sering memuji orang PAS dan menyatakan orang PAS jujur, telus dan tidak mungkir janji.
Jadi ini adalah kualiti universal. Dan apabila mereka menyebut kualiti ini, mereka memandang kita terlalu baik.
Kita perlu tonjolkan kepada mereka, dari segi kebajikan, kita tidak memilih bulu. Kita melihat anak mereka seperti anak kita dan kesusahan mereka seperti kesusahan kita. Mereka juga manusia. Saya berpegang satu prinsip, kita semua sama cuma yang memisahkan adalah agama kita.
Walaupun mereka berlainan agama, mereka hendak bersama kita. Seperti saya katakan sebelum ini, saya adalah 'buta warna'. Saya memang tidak pernah memandang warna kulit. Tetapi saya memandang atas diri dan peribadi.
Jadi, sukar untuk saya meminta orang lain melakukan sedemikian. Sebab saya sejak dahulu lagi, sejak zaman persekolahan lagi saya tidak mempunyai masalah dengan bukan Islam. - (TMJ)


Responses

0 Respones to "Pendekatan Dr Mariah pikat bukan Islam"

For Palestine

Boikot Israel & Amerika

Jawatan Kosong
Iklan

WebTV

WebTV (Auto Channel)

Jika anda tidak dapat menonton siaran ini, sila muat turun & install plug-in P2P TV di sini

P2P TV hanya boleh dilayari dengan menggunakan Internet Explorer dengan syarat port 3502, 5000 - 6000 dibuka di firewall.

Categories

Mari membaca al-Quran
























Return to top of page Copyright © 2011 | Platinum Theme Converted into Blogger Template by Hack Tutors