Moga kestabilan negara, ketenteraman rakyat tidak terjejas



Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Thu Oct 09, 08 3:53:03 pm MYT

PAS mengikuti dengan penuh teliti perkembangan terbaru yang melibatkan Presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia.

Walau bagaimanapun PAS menganggap bahawa keputusan Presiden Umno Dato' Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden Umno dalam Perhimpunan Agung Umno Mac depan lebih sebagai suatu masalah dalaman bagi parti tersebut.

Saya berharap agar dalam tempuh peralihan ini Perdana Menteri akan berjaya melakasanakan inisiatif-inisiatif memperkukuhkan institusi negara yang sedang diusahaknnya itu iaitu menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang diberi mandat dalam pelantikan hakim, membentangkan rang undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah di Parlimen dan menubuhkan Suruhanjaya Aduan Khas bagi memperkukuhkan integriti dan keberkesanan agensi penguatkuasaan.

Di samping itu, inisiatif untuk memperluaskan jaringan keselamatan sosial agar rakyat yang miskin dapat dibantu juga ditunggu-tunggu.

Sekurang-kurangnya dengan terlaksananya inisiatif-inisiatif ini beliau akan berjaya meninggalkan jasa yang boleh dikenang oleh rakyat dan negara dan tidak membiarkan masalah-masalah ini berlarutan sehingga diwarisi pula oleh sesiapa juga pewarisnya nanti.

PAS berharap agar proses peralihan kuasa ini akan berjalan dalam suasana yang baik dan lancar tanpa menjejaskan kestabilan negara dan ketenteraman rakyat.

Presiden
Parti Islam Se Malaysia (PAS)._
[Read More...]


Masa untuk menyertai PAS



Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Tue Sep 16, 08 2:41:30 pm MYT

Umum mengetahui bahawa negara kita kini berada dalam suasana kegawatan ekonomi yang menekan rakyat yang sebahagiannya adalah hasil dari kalutnya kepimpinan negara dalam menguruskan polisi dan pelaksanaan pembangunan ekonomi negara.

Suasana ini diburukkan lagi dengan kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui oleh Umno untuk memastikan suasana kestabilan politik dan keharmonian kaum yang terus dihormati.

Umno yang satu ketika dahulu digambarkan sebagai lantang memperjuangkan nasib orang Melayu di awal penubuhannya, kini telah hilang taring dan gagal dalam memastikan maruah umat Islam dan orang Melayu terbela.

Gambaran bahawa terjejasnya keharmonian kaum ini oleh pimpinan Umno seolah-olah hubungan kaum di Malaysia kini berada pada tahap yang paling rendah juga sebenarnya adalah cubaan Umno untuk mengalih masalah yang berlaku di kalangan parti komponen BN pada ketika ini.

Sehubungan itu, Parti Islam Se Malaysia (PAS) berpendapat bahawa sudah sampai masanya bagi umat Islam dalam negara kita ini untuk berhijrah kepada PAS dan seterusnya menjadikan PAS sebagai parti tempat bernaung.

PAS adalah parti yang tidak diasaskan kepada prinsip perkauman atau asas perjuangan yang sempit, tetapi dibina di atas dasar memperjuangkan Islam dan keadilan yang lebih universal sifatnya, maka PAS percaya bahawa orang-orang Islam di Malaysia secara umumnya dan ahli-ahli Umno beserta pimpinannya secara khusus memerlukan satu wadah baru yang lebih konsisten dan mampu menjadi penyelamat yang akan memartabatkan maruah ummah.

Sebagaimana yang dipertegaskan oleh PAS dalam Muktamar PAS ke-54 yang lalu dengan tema "PAS UNTUK SEMUA", bahawa sebenarnya perjuangan PAS tetap kekal utuh dan bertahan sehingga ke hari ini kerana mempunyai tujuan penubuhannya yang berteraskan kepada akidah perjuangan yang jelas.

PAS bukannya sebuah parti politik semata-mata, tetapi adalah satu wadah dakwah dan tarbiyah. Perjuangan PAS adalah bersifat universal, untuk seluruh umat manusia, membawa keadilan sejagat, sebagaimana yang termaktub dalam Bab Ketiga, Fasal 6, Perkara (8), (9) dan (10), Perlembagaan PAS di mana usaha-usaha PAS ialah:

- Memperjuangkan wujudnya kebudayaan negara berasaskan nilai-nilai yang tidak bercanggah
dengan ajaran-ajaran Islam,
- Memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini tanpa mengabaikan
tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat Malaysia dan tanggungjawab
mewujudkan keharmonian antara kaum di dalam negara ini,
- Menyertai dan bekerjasama dengan Bangsa-Bangsa Bersatu dan badan-badan lain yang sah
bagi mengekalkan keamanan dan menjamin hak-hak asasi manusia serta manghapuskan
segala macam kezaliman, kepalsuan, perhambaan dan penindasan di kalangan umat manusia.
Bertitik tolak dari hakikat ini, maka PAS sudah lama bersedia untuk mengisi kekosongan politik yang ditinggalkan oleh Umno ini. PAS percaya bahawa ahli-ahli dan pimpinan Umno ini boleh memberi sumbangan tenaga mereka menerusi PAS.

Marilah bersama-sama kita bina wadah PAS ini supaya menjadi lebih kuat dan mampu berdepan dengan pelbagai cabaran yang mendatang.

Marilah bersama-sama menyertai PAS!

16 September 2008/ 16 Ramadhan 1429
DATO' SERI TUAN GURU HJ ABD. HADI AWANGPresiden, Parti Islam Se Malaysia (PAS)
[Read More...]


Perutusan Ulangtahun Kemerdekaan ke-51



Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Sat Aug 30, 08 7:53:59 am MYT

Alhamdulillah negara kita Malaysia akan merayakan ulangtahun kemerdekaannya yang ke-51 pada 31 Ogos 2008 ini.

Penambahan usia negara kita ini seharusnya tidak melupakan kita kepada jasa dan pengorbanan mereka yang terdahulu yang telah bertungkus-lumus berkorban dan berjuang bagi memerdekakan tanah air yang tercinta ini dari belenggu penjajah.

Menurut lipatan sejarah PAS sendiri telah terlibat dalam menyumbang terhadap kemerdekaan negara kita sejak dari tarikh keramat penubuhannya pada tahun 1951, iaitu warisan dari perjuangan Hizbul Muslimin yang diharamkan British pada tahun 1948.

Malah tujuan penubuhan PAS itu sendiri adalah bagi memenuhi tuntutan melepaskan negara ini dari sebarang rupa dan bentuk penjajahan oleh kuasa bukan Islam sama ada dalam bentuk politik, ekonomi, sosial atau kebudayaan.

Kerana itu PAS telah terlibat secara aktif bersama parti-parti lain ketika itu bagi menuntut penjajah British untuk mengadakan pilihan raya umum sehingga terzahirnya pilihan raya umum persekutuan pada tahun 1955 dimana PAS telah mengambil bahagian dan memenangi satu kerusi.

Di ambang kemerdekaan ketika itu PAS juga turut mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Reid bagi menggubal perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.

Kerana itu PAS turut berbangga merayakan ulangtahun kemerdekaan ini sehinggakan perlembagaan PAS fasal 5(2) menyebut bahawa tujuan perjuangan PAS termasuklah mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Sepanjang 51 tahun usia kemerdekaan negara ini PAS telah terus gigih berjuang jatuh dan bangun mengisi kemerdekaan ini dengan Islam yang merupakan prinsip dan dasar perjuangannya.

PAS telah menyumbang dalam pembangunan negara melalui wakil-wakil rakyatnya serta kerajaan-kerajaan negeri yang dipimpinnya disamping yang ia turut serta terlibat di dalamnya.
Saya yakin dan percaya berteraskan dasar perjuangannya itu PAS akan terus berperanan di dalam negara Malaysia yang Merdeka dan berbilang kaum ini sehingga lahir di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang adil dan saksama yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dengan peraturan dan hukum yang diredhai Allah SWT.

Politik Islam yang luhur yang dibawa oleh PAS akan terus relevan kerana ianya keperluan manusia secara fitrah dan menepati obejektif peranan manusia yang dijadikan oleh Tuhan pencipta alam ini. Allah swt telah menetapkan beberapa prinsip yang menjadi landasan yang wajib ditaati oleh hamba ciptaanNya secara menyeluruh. Prinsip ini terkandung dalam surah an Nisa ayat ke 58-59:

"Sesungguhnya Allah memerintah supaya kamu menunaikan amanah kepada ahlinya dan apabila kamu menjalankan hukum di kalangan manusia hendaklah melaksanakan hukum itu dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa melihat . Wahai orang-orang yamng beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan ulil amri (orang-orang yang mengendalikan urusan yang terdiri daripada pemimpin dan ulamak). maka jika sekiranya kamu bertelingkah dalam apa-apa perkara, hendaklah kamu kembalikan penyelesaiannya kepada Allah (al Quran) dan Rasul (as Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Itulah sebaik-baik dan lebih elok penyelesaiannya."


Selamat menyambut ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-51, "Perpaduan teras kejayaan" dengan izin Allah SWT.
[Read More...]


For Palestine

Boikot Israel & Amerika

Jawatan Kosong
Iklan

WebTV

WebTV (Auto Channel)

Jika anda tidak dapat menonton siaran ini, sila muat turun & install plug-in P2P TV di sini

P2P TV hanya boleh dilayari dengan menggunakan Internet Explorer dengan syarat port 3502, 5000 - 6000 dibuka di firewall.

Categories

Mari membaca al-Quran
























Return to top of page Copyright © 2011 | Platinum Theme Converted into Blogger Template by Hack Tutors