Zalim terhadap keluarga Shahrial - GMI tuntut penjelasan Syed Hamid




Nyza Ayob
Fri Jul 25, 08 4:28:33 pm MYT

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Hrkh) - Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mendesak Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar memberi penjelasan kelewatan membawa keluar tahanan ISA, Shahrial Sinin yang tidak sempat menemui anaknya Aina Mardiah, 17, yang sakit tenat sebelum (Aina Mardiah) meninggal pada 3 Julai lalu.

Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh berkata demikian sebagai respons kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh di Dewan Negara semalam, bahawa kerajaan akan mempertimbangkan cara terbaik untuk mempercepatkan proses menandatangani borang keluar bagi tahanan ISA yang ingin menziarah keluarga terdekat yang sakit atau meninggal dunia.

Wan Ahmad Farid juga menyatakan, mengikut prosedur ISA, tahanan yang ingin keluar melawat keluarga yang sakit memerlukan tandatangan menteri terlebih dulu.

Isu mengenai kelewatan membawa keluar Shahrial melawat anaknya itu dibangkitkan Senator Zamri Yusuf yang menyatakan Shahrial yang ditahan di Kem Tahanan Perlindungan Kamunting tidak dibenarkan keluar daripada pusat tahanan itu untuk menemui anaknya walaupun keluarganya membawa dokumen sokongan daripada Hospital Kajang yang mengesahkan anaknya sakit tenat.

Pihak kem tahanan memaklumkan Shahrial dibenar keluar hanya selepas menteri menandatangani borang tertentu.

Sementara itu, Syed Ibrahim juga melahirkan kekesalan dengan jawapan yang diberikan Timbalan Menteri berkenaan.

"Kita sudah dapat mengagak jawapan yang akan diberikan. Respons yang diberikan adalah jawapan lazim apabila isu kelewatan membawa keluar tahanan ditimbulkan. Kami mengambil sikap positif apabila beliau menyatakan akan menimbang perkara tersebut

"Bagaimanapun kami membuat keputusan menghantar surat kepada Menteri Dalam Negeri meminta penjelasan daripadanya apakah prosuder bagi membenarkan tahanan keluar untuk melawat keluarga yang dalam kecemasan. Kami tidak pasti dimana kelewatan proses menandatangani borang tersebut sama ada pihak kem tahanan, polis atau menteri sendiri,"katanya sewaktu dihubungi Harakahdaily hari ini.

Jelas Syed Ibrahim dalam surat yang dihantar kepada menteri terbabit semalam, beliau turut menyebut kronologi yang berlaku, iaitu makluman mengenai Aina Mardhiah telah diberi 48 jam sebelum beliau meninggal dunia.

"Takkkan mesti menteri kena tanda tangan borang tersebut? Bagaimana jika menteri tersebut berada di luar Kuala Lumpur, menghadiri program atau ke luar negara?
"Oleh kerana kes ini telah berlaku, saya menuntut Syed Hamid membuat penjelasan kepada isteri dan ahli keluarga Shahrial Kami bimbang kes yang sama akan berlaku lagi pada masa akan datang,"katanya.

Sementara itu, Pengarah Kempen Bebaskan Tahanan Enam Tahun ISA, Nor Laila Othman menyatakan pihak kem tahanan telah dimaklumkan tentang keadaan kritikal anak Shahrial sejak jam 3 petang pada Rabu 2, Julai.

Katanya walaupun selepas itu ada kiriman faks dari laporan doktor, berita itu langsung tidak disampaikan oleh pengurusan Kemta pada Shahrial.

"Shahrial hanya mengetahui keadaan kritikal anaknya apabila isterinya, PuanFatma memaksa pihak kem tahanan membenarkan beliau bercakap sendiri dengan Shahrial pda hari Khamis 3 Julai jam 10 pagi.

"Walaupun berita itu disampakan,namun, Shahrial masih tidak dapat dibawa keluar dari Kemta lebih awal kerana ada peraturan baru iaitu, pergerakan keluar dari kem tahanan bagi tahanan ISA mesti mendapat surat kebenaran yang ditandatangani dari Menteri Dalam Negeri,"katanya.
Jelas Nor Laila, kesukaran mendapatkan tandatangan Menteri Dalam Negeri diakui oleh tiga orang polis cawangan Khas (SB) yang mana salah seorang darinya bernama Ayub, yang mengesahkan bahawa ketika itu jam 11pagi Khamis 3 Julai, sebaik saja doktor di wad 4 Hospital Kajang itu memberitahu beliau bahawa keadaan Aina Mardhiah sangat kritikal, pelbagai usaha telah dilakukan oleh pegawai polis tersebut.

Tambahnya, SB bernama Ayub itu berjanji bahawa Shahrial dikatakan akan dibawa ke Kuala Lumpur pada jam 1 tengahari dan dijangka sampai di Hospital Kajang pada jam 5 petang.
Bagaimanapun katanya,Aina Mardhiah telah meninggal dunia pada jam 6.15 petang. Shahrial hanya tiba di rumah jiran mereka, dimana jenazah ditempatkan, pada jam 9.45 malam. Katanya, Shahrial memberitahu, beliau hanya dibawa keluar dari kemta pada jam 5 petang hari yang sama.
Jelasnya, peraturan baru ( yang memerlukan tandatangan Menteri Dalam Negeri menambah lagi penderaan mental terhadap tahanan ISA dan keluarga .
Dalam pada itu, Norlaila menyangkal kenyataaan Wan Farid bahawa sejumlah 11 daripada 17 permohonan tahanan ISA untuk bantuan kewangan keluarga masing-masing sudah diluluskan dan menerima bantuan kewangan daripada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah serta Baitulmal.

Melalui tinjauan rambang yang diadakan terhadap beberapa orang isteri tahanan ISA, terutamanya mereka yang telah menjadi mangsa lebih dari 6 tahun,semuanya mengesahkan mereka tidak pernah menerima sebarang bantuan dari Baitulmal.

Berikut adalah sebahagian dari mereka yang di hubungi Nor Laila:

1) Halimah Ishak, isteri kepada tahanan ISA Mohd Khaidir Hadran, yang ditahan sejak tahun 2003. Beliau mempunyai 8 orang anak berumur antara 6 hingga 19 tahun.Pendapatan hariannya adalah dari air soya yang dibuat sendiri dan dijual di pasar tani di Negeri Sembilan. Beliau tidak pernah mendapat sebarang bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat mahupun Baitul Mal.

2) Zulaiha Samsuri,isteri tahanan ISA Abd Murad Sudin, yang ditahan sejak tahun 2003. Beliau tinggal di Perak.Beliau mempunyai 4 orang anak berusia 6 hingga 13 tahun.Beliau tiada pekerjaan tetap, dan mendapat bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat berjumlah RM300 sebulan.Tetapi beliau tidak pernah mendapat sebarang bantuan dari Baitul Mal.

3) Zakiah Mat, isteri tahanan ISA Dr Abdullah Daud, yang ditahan sejak Januari 2002. Beliau mempunyai 12 orang anak berusia antara 10 - 23 tahun.Bekerja sebagai "baby-sitter" dan membuat kueh mueh dijual pada jiran-jirannya.Beliau tidak pernah mendapat bantuan dari mana-mana institusi Baitul Mal atau Jabatan Kebajikan Masyarakat.Beliau tinggal di Johor Bharu.

4) Hampir semua isteri Tahanan ISA "JI" yang telah ditahan di Kem Kamunting melebihi 6 tahun, tidak pernah menerima sebarang bantuan dari Baitul Mal mahupun Jabatan Kebajikan Masyarakat. Mereka ialah Siti Norma Ismail isteri kepada Abdullah Minyak Silam, Jurainah Basari isteri kepada Suhaimi Mokhtar, Fatma Masrum, isteri pada Shahrial Sirin, Fatimah Bt Shamsudin anak kepada tahanan ISA Shamsudin Sulaiman, Sajaratul Dursina isteri kepada Yazid Suffat dan Norlaila Othman isteri kepada Mat Sah Bin Mohd Satray. - mr_


Responses

0 Respones to "Zalim terhadap keluarga Shahrial - GMI tuntut penjelasan Syed Hamid"

For Palestine

Boikot Israel & Amerika

Jawatan Kosong
Iklan

WebTV

WebTV (Auto Channel)

Jika anda tidak dapat menonton siaran ini, sila muat turun & install plug-in P2P TV di sini

P2P TV hanya boleh dilayari dengan menggunakan Internet Explorer dengan syarat port 3502, 5000 - 6000 dibuka di firewall.

Categories

Mari membaca al-Quran
























Return to top of page Copyright © 2011 | Platinum Theme Converted into Blogger Template by Hack Tutors