Barisan Rakyat mesti perkemaskan cawangan mereka



Maulana Purnama Mon Mar 24, 08 11:31:23 am MYT
Ketika Barisan Nasional (BN) sedang meneliti punca kekalahan mereka dan berazam untuk bangkit kembali, Barisan Rakyat (BR) pula tidak boleh berdiam diri dan hanya sibuk menanti hasil daripada kerajaan-kerajaan negeri yang mereka menangi.



BR masih lemah dan mereka mesti meneliti mengapa ada tempat mereka kalah walaupun negara dilanda tsunami politik yang memihak kepada mereka. Kejadian pertandingan tiga penjuru yang berlaku di Kedah umpamanya mesti dielakkan dan diteliti mengapa ia berlaku juga.



Usaha memperkukuhkan BR bermakna setiap parti mesti memperbaiki cawangan dan bahagian mereka supaya jentera parti bergerak lancar. Maka Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) mesti menubuhkan lebih banyak cawangan di seluruh negara, termasuk Sarawak dan Sabah, tetapi lebih-lebih lagi di Perak dan Selangor. Kemenangan tahun ini tidak akan dapat bertahan lama jika cawangan parti tidak diperkemaskan dan dimajukan.



Ini juga bermakna PAS, KeADILan dan DAP mesti menambah ahli dan mencari pemimpin yang akan berupaya menjadi calon pada pilihan raya akan datang. Dalam pilihan raya yang baru lalu sudah disaksikan betapa sukarnya untuk mendapatkan calon berwibawa bagi bertanding bagi pihak BR. Maka usaha mencari pemimpin mesti dijalankan dari masa ke masa.
Di kalangan ketiga-tiga parti itu, PAS dan DAP sebagai parti yang lama sememangnya sudah tersusun walaupun masing-masing mempunyai kelemahan tersendiri. DAP dikenali sebagai parti perkaderan yang tidak memiliki banyak ahli. Maka usaha mesti dilakukan supaya DAP menjadi parti yang lebih berbentuk massa.



Bagaimanapun, paling bermasalah ialah KeADILan kerana cawangan dan bahagian mereka tidaklah benar-benar kukuh. Selepas pilihan raya tahun 2004, keadaan mereka semakin merosot hinggakan ketika menghadapi pilihan raya ke-12 baru lalu, jentera mereka sukar bergerak hingga di banyak tempat mereka terpaksa bergantung pada jentera PAS. Aktivis-aktivis PAS tidak berat untuk membantu KeADILan, lebih-lebih lagi kedua-duanya adalah anggota Barisan Alternatif (BA).



Tetapi ia hanya berbentuk sementara kerana KeADILan mesti akhirnya berdikari dengan memiliki cawangan dan bahagian yang kemas. Terutamanya dari segi dana. Aktivis PAS mungkin boleh membantu dari segi logistik, tenaga dan infrastruktur tetapi KeADILan mesti memiliki dana untuk membiaya aktiviti mereka.



Kalau hendak menjimatkan kos, PAS dan KeADILan boleh menyewa satu pejabat untuk menjadikannya pejabat BA. Atau lebih murah lagi, kesleuruhan pejabat BR hendaklah ditempatkan di satu premis, bukan saja menjimatkan kos tetapi menyemai penyelarasan dan setiakawan.


Dalam membantu menubuhkan cawangan dan bahagian, PAS yang sudah lama berada di banyak tempat di seluruh negara boleh membantu memulakannya. Lagipun apabila dilihat daripada keputusan pilihan raya, ketiga-tiga parti bergantung di antara satu sama lain.
Sementara itu KeADILan yang mempunyai keistimewaan dari segi organisasi berbentuk masyarakat sivil dan madani melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wajar menyelaraskan aktiviti supaya badan-badan itu saling bantu membantu dengan parti. Maknanya NGO berkenaan boleh bergerak selaras dengan parti, justeru membantu di antara satu sama lain.


Malah badan seperti Angkatan Tindakan Hak Hindu (Hindraf) sebagai NGO yang telah dimansuhkan pendaftaran boleh bergerak secara sepadu dengan DAP dan KeADILan , dengan saling mengukuhkan di antara satu sama lain. DAP dan KeADILan boleh membantu Hindraf dan sebaliknya Hindraf juga membantu DAP dan PKR.


Sementara itu, parti-parti kecil seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Demokratik Malaysia (MDP) perlu juga menyelaraskan kedudukannya dalam BR. Kedua-dua parti ini juga wajar memperkemaskan kedudukan parti mereka supaya turut menyumbang kepada kekuatan KeADILan.


MDP boleh memilih untuk terus wujud sebagai parti bebas atau bergabung terus dengan parti yang ada. Sememangnya sukar bagi MDP untuk bergabung dengan DAP kerana presidennya Wee Choo Keong pernah bergaduh dengan Penasihat DAP, Lim Kit Siang. Jadi langkah sewajarnya MDP digabungkan terus ke dalam PKR. Bagaimanapun jika Wee mahu mengekalkan partinya, maka ia seharusnya dijadikan salah sebuah parti dalam BR setaraf dengan DAP, KeADILan dan PAS.
Selain itu, PSM mempunyai masalah unik kerana ia merupakan parti yang tidak didaftarkan. Adalah lebih baik bagi PSM bergabung saja dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang masih terdaftar untuk membolehkannya bergarak mengikut undang-undang.


PSM merupakan parti yang berasaskan kepada NGO berideologikan sosialis. Dua calonnya menang iaitu di Kota Damansara dan Sungai Siput, dan kalah di Semenyih. Dalam pilihan raya ke-12, ia bertanding menggunakan tiket KeADILan. Tetapi identiti PSM adalah jelas iaitu dengan memiliki lambang tangan berlatarkan warna merah.


Mungkin lebih baik PSM bergabung terus ke dalam KeADILan. Tetapi mungkin juga ia tidak mahu menghilangkan identiti sosialisnya. Maka langkah lebih baik ialah bergabung dengan PRM yang masih berpegang kepada sosialisme.


PRM adalah parti yang dihidupkan semula setelah pada awalnya digabungkan dengan Parti Keadilan Nasional (Keadilan) untuk menjadi PKR. Apabila pemimpin-pemimpinnya bersetuju dengan penggabungan itu, PRM pula tidak melalui proses pembubaran.
Akibatnya, ada ahlinya yang enggan menyertai KeADILan dan mahu terus menghidupkan semula PRM dan ini dapat dilakukan kerana parti itu tidak dibubarkan secara perundangan. Akibatnya kini PRM terus hidup dan telah bertanding di tiga kerusi di Johor dalam pilihan raya umum mewakili pihak pembangkang, yang bererti mewakili BR.


Namun begitu di satu kawasan, berlaku pertandingan tiga penjuru dengan bertembung DAP. Perkara ini wajar dielakkan. PRM yang menggunakan lambang sendiri telah kalah di semua kawasan yang ditandinginya walaupun berjaya meningkatkan majoriti mereka. Tsunami politik dalam pilihan raya umum baru-baru ini tidak sampai ke Johor.


Maka PSM dan PRM wajar bergabung, dan namanya boleh kembali menjadi Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM), nama lama PRM. Lambangnya bolehlah ambil lambang PSM yang lebih kotemporari berbanding lambang Banteng. Ataupun PRM tukar saja nama kepada PSM dengan menggabungkan kedua-dua parti. Dalam pilihan raya, mereka boleh menggunakan lambang KeADILan bagi memudahkan pengundi tetapi mengekalkan identiti parti sendiri dengan menjadikannya salah sebuah parti komponen BR. - mns


Responses

0 Respones to "Barisan Rakyat mesti perkemaskan cawangan mereka"

For Palestine

Boikot Israel & Amerika

Jawatan Kosong
Iklan

WebTV

WebTV (Auto Channel)

Jika anda tidak dapat menonton siaran ini, sila muat turun & install plug-in P2P TV di sini

P2P TV hanya boleh dilayari dengan menggunakan Internet Explorer dengan syarat port 3502, 5000 - 6000 dibuka di firewall.

Categories

Mari membaca al-Quran
























Return to top of page Copyright © 2011 | Platinum Theme Converted into Blogger Template by Hack Tutors