Salman Hussin Fri Apr 04, 08 8:29:51 am MYT
PONTIAN, 4 April (Hrkh) ? Lebih 600 keluarga nelayan di persisiran pantai Sanglang-Benut, dekat sini, kehilangan punca pendapatan berikutan pembinaan kolam ternakan udang di hutan paya bakau sepanjang persisiran pantai tersebut, sejak beberapa tahun lalu.
Projek ternakan udang yang bermula sejak 2004 ini telah memusnahkan beratus-ratus ekar hutan paya bakau di persisiran pantai terbabit yang selama ini menjadi tempat pembiakan hidupan laut seperti ikan, udang, ketam termasuk juga siput dan lokan, yang menjadi sumber pendapatan utama nelayan ketika musim tengkujuh.
Bagaimanapun sejak projek ternakan udang ini bermula, pendapatan nelayan terjejas teruk,"kalau sebelum adanya kolam udang ini pendapatan kami RM80 hingga RM90 sehari, tetapi sekarang ini nak dapat RM30 pun payah,"kata Mohd Amin Latif, 46, salah seorang nelayan yang ditemui.
Mohd Amin yang mewakili nelayan masyarakat orang asli Sanglang, memberitahu, sekarang ini kebanyakan nelayan telah meninggalkan pekerjaan yang diwarisi sejak turun temurun dari nenek moyang mereka disebabkan pendapatan dari sumber laut terjejas teruk sejak adanya kolam udang ini.
"Kami terpaksa mencari kerja lain untuk menyara keluarga, ada yang bekerja di kilang, kerja kontrak atau mengambil upah memetik buah kelapa sawit," katanya.
"Apa yang lebih menyedihkan kami masyarakat orang asli, kami telah memohon tanah rizab hutan paya bakau ini sejak 1992 tetapi tidak diluluskan, berbagai-bagai alasan diberi Pejabat Tanah Pontian untuk menolak permohonan kami, sedangkan surat kelulusan dari Menteri Besar, sudah pun kami diperolehi tetapi pihak terbabit tetap juga tidak meluluskan permohonan kami, tiba-tiba pada 2004 satu demi satu kolam udang dibina di atas tapak yang kami mohon sebelum ini.
"Sehingga hari ini kira-kira 130 ekar tanah rizab hutan paya bakau ini sudah pun berubah menjadi kolam ternakan udang, beratus-ratus ekar lagi sedang dalam proses pembinaan, bagaimana pun projek ini terbantut setelah kami melakukan bantahan keras apabila mendapati projek ini sudah menghampiri perkampungan kami,"jelasnya.
Katanya, "persoalan yang timbul sekarang ini, bagaimana tanah rizab hutan paya bakau milik kerajaan ini boleh terlepas ke tangan pengusaha ternakan udang ini, kita juga ingin tahu apakah projek ini dijalankan secara ceroboh atau dengan kebenaran kerajaan."
Seorang lagi nelayan yang ditemui, Abdul Rahman Dalik, 49, memberitahu, kawasan hutan paya bakau ini, selain menjadi tempat pembiakan hidupan laut, ianya juga merupakan sumber alternatif bagi nelayan mencari rezeki semasa musim tengkujuh.
"Ketika laut bergelora pada musim tengkujuh, nelayan tidak dapat turun ke laut, apatah lagi bagi nelayan bot kecil macam kami, maka pada musim ini kami mencari sumber rezeki dengan mencari lokan, siput dan ketam yang terdapat di hutan paya bakau ini, malangnya bila kawasan ini musnah, sumber kami pun ikut musnah sama,"katanya.
Selain itu menurut Abdul Rahman, sisa-sisa dari kolam ternakan udang yang dilepaskan ke laut juga boleh menyebabkan pencemaran terhadap air laut yang sekaligus akan menjejaskan hidupan laut yang menjadi sumber utama pendapatan nelayan selama ini.
"Secara jelasnya kewujudan kolam ternakan udang ini sama ada secara langsung atau tidak, selain menjejaskan pendapatan nelayan, ianya juga turut menimbulkan pencemaran alam yang membabitkan hidupan laut.
"Jika keadaan ini terus dibiarkan tanpa sebarang tindakan tegas diambil, dikhuatiri satu ketika nanti hidupan laut ini akan pupus dan musnah sama sekali,"tegasnya.
Katanya, apa yang lebih dikesalkan penduduk, sebelum projek ini dimulakan beberapa tahun lalu, tiada sebarang perbincangan dengan nelayan dan penduduk diadakan, tiba-tiba saja projek dimulakan tanpa pengetahuan mereka.
Sehubungan itu mereka yang mewakili golongan nelayan Sanglang-Benut, sependapat mendesak kerajaan supaya menghentikan projek ternakan udang ini, "apa ertinya projek ini jika tidak menguntungkan rakyat, bukan saja keuntungan dikaut oleh tauke-tauke terbabit, bahkan tenaga kerja di kolam udang ini pun 100 peratus rakyat asing, rakyat tempatan langsung tidak diberi peluang," tegas mereka lagi. - mks
Responses
0 Respones to "Johor: Pendapatan 600 keluarga nelayan terjelas akibat projek ternak udang"
Catat Ulasan