Selesa 'main politik selamat'?



Basiron Abdul Wahab
Sat Nov 01, 08 7:35:45 am MYT

Dahulunya, nama beliau antara "pendakwah selebriti" yang popular di kaca TV. Tahun 1999, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, dipilih sebagai Adun. PAS Pahang melakukan kejutan dalam pilihan raya ke-10 itu.

Ternyata negeri Pahang bukan lagi kubu Umno. Kini sebagai Pesuruhjaya PAS Pahang, Tuan Ibrahim merupakan ulama muda yang diperhatikan geraknya. Wartawan Harakah, BASIRON ABD WAHAB, baru-baru ini bertanyakan lima soalan kepadanya.

Dato' dikatakan sering ke luar negara, boleh dikongsi mengapa perlu agak kerap ke sana?
Saya keluar negara selalunya atas dua urusan. Pertama, jemputan pelajar atau petugas Malaysia di luar negara. Program ini biasanya bagi mengisi program mereka, yang melibatkan kursus kefahaman Islam dan bagi membincangkan isu-isu semasa.

Kedua, atas urusan syarikat. Selepas pilihan raya ke-12, saya bersama rakan membuka sebuah agensi menguruskan umrah dan ziarah. Ada di antara jamaah mengharapkan saya bersama mereka bagi membimbing ibadah tersebut. Biasanya dalam setahun saya akan mengikuti rombongan sekali atau dua kali.

Saya mempunyai tanggungan sendiri, dengan tiga orang anak di universiti, dua sekolah menengah dan tiga di sekolah rendah. Saya juga masih menanggung pinjaman semasa bertugas dengan UiTM.

Justeru, saya mesti ada sesuatu punca atau sumber pendapatan bagi menanggung keluarga, di samping tugas jamaah yang juga memerlukan sumber kewangan kukuh. Walaupun pendapatan daripada sumber berkenaan tidak seberapa, tetapi ia dapat meringankan tanggungjawab saya sebagai ketua keluarga.

PAS negeri Pahang di bawah kepimpinan Dato' dilihat seperti bermain "politik selamat", misalnya seperti ditunjukkan dalam isu-isu muzakarah dan muqabalah.

Sebenarnya tidak timbul soal "politik selamat".
Bagi saya, isu utamanya ada dua:
1. Isu yang melibatkan dasar parti; ia tidak boleh diputuskan oleh satu dua orang dalam parti. Ia mesti dibawa ke muktamar khas, tiada apa yang perlu dihebahkan sehingga boleh menjejaskan kesepakatan parti.
2. Saya diamanahkan sebagai AJK PAS Pusat dan ahli Majlis Syura bagi mewakili Jawatankuasa PAS Pusat. Kita mempunyai saluran parti bagi meluahkan kebimbangan, pandangan atau apa jua isu yang melibatkan persoalah dalaman parti.

Inilah saluran sebenar agar kita dan ahli-ahli di bawah tidak bercelaru bilamana wujud sesuatu isu penting.

Seluruh kepimpinan hendaklah membawa mandat parti dalam apa jua keadaan. Kita boleh ada pandangan peribadi, tetapi pandangan jamaah adalah keputusan dan dasar yang perlu didokong.
Dato' masih belum membebaskan diri dari gaya seorang pendakwah, benarkah begitu?

Saya akui bahawa kita adalah parti dakwah dan siasah. Manusia dicipta oleh Allah dengan watak dan gaya serta acuan yang dikehendaki-Nya. Ada orang melihat bahawa sebagai ahli politik kita mesti keras dalam hujjah, tegas dalam penyampaian dan sebagainya. Itu ada kebenarannya kerana kepimpinan memerlukan penegasan.

Tetapi ruang dakwah mengajar kita agar berlemah-lembut dalam penyampaian dan bertegas dalam dasar Islam. Terkadang ada yang terkeliru antara metod dakwah dengan prinsip dan dasar ini.

Saya beberapa kali diminta "bantai habis-habisan" dalam ceramah. Saya tertanya-tanya, nak bantai siapa? Kalau Umno itu sasaran dakwah kita, manusia tak akan menerima kebenaran yang dipaksakan. Mereka akan tunduk dengan kebenaran yang dapat menyelinap masuk ke hatinya, bukan jasadnya.

Lihat ingatan Allah kepada Nabi Musa dan Nabi Harun apabila Allah memeritahkan mereka pergi kepada Firaun. Allah menyuruh berbicara dengan lemah lembut, agar ia ingat akan Allah dan takut pada kekuasaan Allah.

Jika Pakatan Rakyat dapat mentadbir Malaysia, apakah peranan PAS, khususnya di Pahang?
Pakatan Rakyat Pahang diterajui oleh PAS. Kita mempunyai sabuah badan induk Pakatan Rakyat di Pahang yang mengadakan pertemuan dwi-bulanan.

Dan apa jua isu berbangkit, kita akan keluarkan kenyataan bersama. Andai kata Pakatan Rakyat menguasai Malaysia, PAS Pahang mempunyai peranan besar dalam merealisasikan hasrat perubahan yang diimpikam rakyat.
Kita mempunyai rangkaian jentera parti yang besar dan kemampuan ketokohan yang dapat dibanggakan.
Sebagai parti yang utama, kita mempunyai kemampuan bagi memperkukuhkan Pakatan Rakyat di Pahang. Keakraban dalam hubungan Pakatan Rakyat Pahang menjadi nadi utama bagi mendokong hasrat ini.
Dato' sering didakwa oleh musuh politik di Pahang sebagai 'orang Kelantan', apa komen?
Nama pun musuh, apa saja yang dirasa dapat bagi sedikit keuntungan tentu akan ditimbulkan, walaupun tak benar. Saya fikir ada dua elemen yang menyebabkan dakwaan itu. Pertama nama saya Tuan, ini jarang ada selain orang asal dari Kelantan atau Terengganu. Kedua, latar belakang keluarga.
Ayah saya berhijrah ke Pahang tahun 1957 dan menetap di Kg Batu Balai. Bahkan kedua ibu bapa saya ada watikah daripada Sultan Abu Bakar yang mengesahkan bahawa kedua-dua ibu bapa saya diterima sebagai rakyat Sultan Pahang.
Watikah itu masih ada dalam simpanan. Dulu setiap rakyat dari luar Pahang yang menetap di Pahang, ia hanya diiktiraf sekiranya ada watikah dari Sultan Pahang, maka barulah jadi rakyat Pahang.
Sebab itu saya dan adik beradik berhak mendapat biasiswa dan apa-apa keistimewaan sebagai rakyat Pahang. Saya dilahirkan di Batu Balai tahun 1960 dan mendapat pendidikan di Pahang. Tapi kalau dah tak ada isu, apa-apa sahaja yang boleh dijadikan isu digunakan, walaupun ia tak betul.

Dalam zaman era globalisasi, kalau isu seperti ini terus ditimbulkan, maka kita ternyata sudah ketinggalan jauh ke belakang.

Jangan pandang belakang


Responses

0 Respones to "Selesa 'main politik selamat'?"

For Palestine

Boikot Israel & Amerika

Jawatan Kosong
Iklan

WebTV

WebTV (Auto Channel)

Jika anda tidak dapat menonton siaran ini, sila muat turun & install plug-in P2P TV di sini

P2P TV hanya boleh dilayari dengan menggunakan Internet Explorer dengan syarat port 3502, 5000 - 6000 dibuka di firewall.

Categories

Mari membaca al-Quran
























Return to top of page Copyright © 2011 | Platinum Theme Converted into Blogger Template by Hack Tutors