Mon Sep 29, 08 5:44:35 pm MYT
KOTA BHARU, 29 Sept (Hrkh) - Kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan peruntukan sebanyak RM2.2 juta yang diagih kepada warga emas, armalah dan anak yatim sepanjang Ramadan ini.
Pengarah JKM Kelantan, Md Noor Chik berkata, sumbangan tersebut sedikit sebanyak diharap dapat membantu golongan terbabit membuat persediaan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri. Beliau berkata sedemikian pada majlis penyampaian sumbangan kepada 1,000 penduduk miskin di Dun Kijang baru-baru ini. Sumbangan tersebut disampaikan Adun Kijang, Wan Ubaidah Omar.
Beliau juga berkata, semua penerima bantuan bulanan daripada JKM akan menerima bantuan mereka melalui bank atau tunai sebelum 5 haribulan pada setiap bulan bermula Ogos lalu. Menurutnya terdapat tujuh skim bantuan yang disediakan JKM iaitu skim bantuan armalah, warga emas, pekerja cacat (OKU), pesakit terlantar, OKU terlantar dan ibu bapa peliharaan. "Kesemua penerima skim bantuan ini akan dapat menerima sumbangan setiap awal bulan, tidak seperti berlaku sebelum ini," ujar beliau.
Beliau juga berkata, JKM negeri sedang menjalankan Projek Cari iaitu mencari di segenap pelusuk negeri melalui pemimpin peringkat kampung untuk mengenal pasti mereka yang betul-betul memerlukan bantuan kerajaan.
Menurutnya setakat ini terdapat seramai 11,000 penduduk dhaif di negeri ini yang dikenal pasti layak diberi bantuan hasil maklumat awal yang diperolehi dari badan-badan berkaitan.
Oleh itu katanya bagi mempercepatkan proses bantuan kepada golongan terbabit JKM melantik seramai 58 kakitangan sementara yang turun ke bawah bagi mengenalpasti mereka yang benar-benar layak mendapat bantuan.
"JKM sentiasa bekerjasama dengan wakil rakyat di peringkat Parlimen dan Dun di negeri ini bagi mengenal mereka yang layak mendapat bantuan kerajaan," ujarnya.
Responses
0 Respones to "Kelantan peruntuk RM2.2 juta bantu penduduk miskin menjelang raya"
Catat Ulasan