Basiron Abdul Wahab
Thu Oct 30, 08 8:53:07 am MYT
TEMERLOH 30 Okt (Hrkh) - Presiden Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman bimbang kejatuhan mendadak harga getah dan kelapa sawit akan memberi implakasi buruk kepada masyarakat peneroka yang bergantung kepada kedua-dua komoditi itu.
Katanya, setakat ini pihak berkuasa tidak melakukan apa-apa untuk menghadapi krisis kejatuhan komoditi tersebut.
Difahamkan harga komoditi getah dan kelapa sawit telah merosot sehingga 70 peratus sejak Mac lalu dan semakin merudum akibat krisis ekonomi dunia.
"Kerajaan belum mengumumkan apa-apa langkah untuk menghadapi krisis kejatuhan komoditi tersebut," katanya.
Mazlan berkata, masyarakat peneroka yang berhutang di antara RM50,000 ke RM150,000 dengan Felda akan menghadapi masalah besar sekiranya kejatuhan harga komoditi itu ke tahap serius sehingga Felda tidak boleh memotong hutang mereka.
Jika ini berlaku, Felda boleh bertindak terhadap peneroka terbabit dengan menggunakan Fasa 17 (B) perjanjian peneroka-Felda yang membolehkan agensi berkenaan 'kaveat' tanah-tanah peneroka untuk melunaskan hutang mereka.
Felda juga kata Mazlan, boleh menggunakan 'Surat Penyerahan Kuasa' untuk mengambil alih tanah peneroka yang tidak menjelaskan hutang kepada agensi berkenaan.
"Dengan harga komoditi yang jatuh menjunam, sudah tentu peneroka tidak akan mampu melunasi hutang masing-masing dan Anak bimbang Felda akan menggunakan kedua-dua kuasa ada kepada mereka sebagai jalan mudah untuk mendapatkan wangnya," katanya.
Sementara itu, kebanyakan peneroka tidak menyedari kuasa yang telah diberi kepada Felda itu. Peneroka terbabit mendakwa mereka tidak tahu menahu adanya peruntukan seperti itu yang ditandatangani dengan Felda sebelum ini.
"Jika ada saya tidak akan bersetuju, mana boleh serah tanah begitu mudah kepada Felda," kata seorang peneroka yang enggan disiarkan namanya.
Menurut Mazlan lagi, lebih mendukacitakan sebarang pertikaian antara peneroka?Felda itu tidak boleh dibawa ke mahkamah untuk diadili.
Responses
0 Respones to "Kejatuhan harga komoditi dibimbangi bawa implikasi buruk pada peneroka"
Catat Ulasan