Menjernihkan persepsi palsu terhadap PAS



Roslan Shahir Mon Jul 09, 07 11:56:00 AM
Petang semalam sekumpulan tujuh orang siswa Amerika dari American University, Washington DC telah mengunjungi Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Mereka diketuai Profesor Pek Koon Heng, dari School of International Service universiti berkenaan.

Tujuan kunjungan mereka adalah bagi mendapatkan input dari pimpinan PAS berkenaan dengan dasar dan perjuangan PAS.
Sebelum ini rombongan tersebut telahpun mengunjungi Pejabat Umno di PWTC, Bangunan Parlimen, Institut Kajian Dasar dan Strategi ISIS, Tenaganita dan Sisters in Islam.
Di Pejabat Agung, rombongan tersebut telah disambut dan diraikan oleh Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli dan Pengerusi Pusat Penyelidkan PAS Pusat (PPP), Dr Dzulkifli Ahmad. Saya turut hadir menyaksikan perbincangan yang saya anggap sungguh ilmiah dan menarik itu.
Rata-rata mereka sebagaimana kebanyakan orang asing malah termasuklah rakyat tempatan sendiri memiliki persepsi yang negatif terhadap PAS. PAS yang mereka kenal adalah satu kelompok ekstrimis, yang sukar dibawa berbincang dan lebih malang lagi anti-Amerika, anti-Barat dan anti bukan Islam.
Padam persepsi buruk
Kedua-dua Dr Hatta dan Dr Dzul telah mengambil masa memberikan penjelasan tentang kedudukan sebenar PAS dan cuba memadam persepsi palsu yang telah berjaya dilonggokkan oleh pihak media termasuklah pihak BN terhadap PAS.
Satu perkara yang telah dilontarkan kepada perwakilan asing ini adalah bahawa PAS sejak penubuhannya sehinggalah ke hari ini merupakan parti politik yang berdaftar menurut peruntukan Perlembagaan dan undang-undang negara, dan sepanjang usianya bergerak dalam kerangka mendaulat dan menghormati amalan demokrasi yang diguna pakai dalam negara berdaulat ini.
Memang PAS bercita-cita untuk memperolehi kuasa namun ia dilakukan menurut tuntutan dan lunas demokrasi.
Rupa-rupanya mereka yang hadir itu sememangnya akur dan mengiktiraf hakikat tersebut, cuma mereka sekadar mahu mendengar dan mendapatkan kesahihannya itu terus dari PAS sendiri.
Mudah-mudahan mereka, walaupun satu kumpulan yang kecil, nanti akan membantu menjernihkan persepsi palsu terhadap PAS agar ianya tidak lagi disamakan dengan amna-mana kelompok yang ditakuti dan dibimbangi oleh pihak Barat.
Saya agak terpegun apabila Profesor Pek secara jujur menyatakan bahawa mereka melihat yang PAS sesungguhnya merupakan agen penting dalam melahirkan kestabilan dan kemanan dalam negara ini.
Di Indonesia, Selatan Thai dan Selatan Filipina, menurut beliau, gerakan Islam dilihat ganas, militan dan ekstrimis sehingga ia menggugat tanggapan masyarakat luar terhadap Islam itu sendiri.
Berbeza di Malaysia, PAS walaupun sebuah gerakan Islam tetapi ia bergerak berdasarkan peruntukkan undang-undang dan peraturan negara.
Malah, kata profesor itu lagi (yang pernah mengajar bersama Dato' Kamaruddin Jaafar satu waktu dahulu), beliau pernah menerima taklimat oleh satu jabatan kerajaan yang bertanggungjawab dalam hal-ehwal keselamatan negara dimana dalam taklimat itu pegawai yang bertanggungjawab telah menyatakan yang PAS sama-sekali tidak terlibat dengan mana-mana gerakan atau aktiviti militan dan terorisma di negara ini.
Banyaklah soalan dan penjelasan yang telah diminta oleh siswa dan profesor dari Amerika Syarikat itu. Dan saya melihat mereka seakan berpuas hati dan senang dengan jawapan-jawapan yang diberikan termasuklah dalam isu Negara Islam, Hudud, murtad, poligami serta perancangan PAS jika diberikan kuasa.
Maklumat sebenar
Kesimpulannya, saya melihat banyak pihak telah mula terpanggil untuk mendapatkan maklumat sebenar berkenaan PAS. Mereka mula mempertikai dan tidak meyakini sumber maklumat yang mereka terima selama ini kerana pada asasnya PAS sebagaimana gerakan Islam lain yang mengambil pendekatan politik berpilihan raya ternyata berbeza dari kumpulan yang lain-lain.
Dan saya yakin perubahan ini juga sedang berlaku dalam negara. Majlis-majlis forum, diskusi dan malah program-program kebajikan PAS telah mula membuka mata dan hati rakyat terhadap PAS yang sebenar.
Jika pimpinan dan ahli-ahli PAS terus komited mempertingkatkan program-program "engagement" dan penerangan seumpama ini, tidak mustahil hasilnya nanti akan menguntungkan perjuangan Islam.
Rombongan para siswa dan Profesor American University itu dijadualkan mengunjungi Kelantan dalam waktu terdekat ini.
Maka semakin terbukalah minda mereka terhadap PAS apabila mereka mendarat dan melihat sendiri apa yang sedang berlaku di satu-satunya negeri yang dikuasai PAS itu.
Masa untuk perubahan telah sampai, atas kitalah untuk menyelam dan mengharunginya.
* Roslan Shahir bin Dato' Mohd Shahir adalah Setiausaha Akhbar kepada Presiden PAS. Ini merupakan artikel pertama untuk dimasukkan dalam kolumnya, "Menongkah Arus".


Responses

0 Respones to "Menjernihkan persepsi palsu terhadap PAS"

For Palestine

Boikot Israel & Amerika

Jawatan Kosong
Iklan

WebTV

WebTV (Auto Channel)

Jika anda tidak dapat menonton siaran ini, sila muat turun & install plug-in P2P TV di sini

P2P TV hanya boleh dilayari dengan menggunakan Internet Explorer dengan syarat port 3502, 5000 - 6000 dibuka di firewall.

Categories

Mari membaca al-Quran
























Return to top of page Copyright © 2011 | Platinum Theme Converted into Blogger Template by Hack Tutors